KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung diminta untuk berhenti memainkan naratif fitnah tetapi sebaliknya dicabar untuk turun ke gelanggang debat.
Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata, kenyataan Chean Chung yang menuduhnya bermain sentimen perkauman sempit tidak boleh diterimanya kerana menurut Chegubard, beliau hanya mempertahankan agama, bangsa dan tanah air (ABATA).
Beliau menyatakan, tuduhan yang dilemparkan kepadanya itu merujuk kepada dua siaran Facebook miliknya mengenai gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dijadikan pusat maksiat disko bergerak dan bacaan doa agama lain di perkuburan Cina dalam majlis mengenang 13 Mei.
“Ini bukan isu perkauman. Ini aktiviti yang agama apa pun tidak setuju dengan percampuran (agama), lagha dan hedonisme menggunakan KTMB.
“Satu lagi adalah bacaan doa apabila agama Islam diletakkan sebaris dengan agama lain. Isu agama dan isu kaum inilah dia (Lee) spin dan berbohong,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily semalam.
Tambah Chegubard lagi, pendirian dan perjuangannya terhadap ABATA dan kontrak sosial sebagai kunci kestabilan tidak pernah berubah sejak 1999.
“Sebaliknya, Lee Chean Chung dan PKR yang berubah. Isu indeks kebebasan media, hak asasi negara yang menjunam dan isu integriti. Macam mana dia boleh berkompromi dengan integriti?
“Saya cabar Lee Chean Chung, kalau benar dia anak jantan, mari kita berdebat,” katanya.
Terdahulu, Chean Chung dalam kenyataannya yang disiarkan Malaysakini pada 22 Mei lepas menasihati Chegubard dan Perikatan Nasional (PN) agar berhenti memainkan sentimen perkauman sempit dan fitnah yang dilabelkannya sebagai ‘tidak berasas’. – HARAKAHDAILY 29/5/2024