KANGAR: PAS menyatakan kesediaan untuk bertanding PRK melibatkan tujuh kerusi yang mungkin diadakan nanti terutama di Kelantan, sekiranya diberikan laluan oleh rakan komponen Perikatan Nasional (PN) daripada BERSATU.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’raja Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, berkata, ia melibatkan kerusi Parlimen Gua Musang dan Jeli serta DUN Nenggiri di mana PAS mempunyai peluang cerah menang ketiga-tiga kerusi tersebut.
“Kita memang bersedia terutamanya di Kelantan, sebab Kelantan negeri kita. Jika BERSATU beri laluan, PAS insya-Allah akan bertanding,” kata beliau ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.
Menurut Mohd Amar juga, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklum balas dan pelbagai pandangan daripada akar umbi parti untuk menyelaraskan strategi untuk PRK tersebut.
Beliau juga menjelaskan contoh sepertimana DUN Kuala Kubu Baharu yang kerusi tersebut asalnya ditandingi GERAKAN, tetapi PN telah memberi laluan kepada BERSATU untuk bertanding pada PRK baru-baru ini.
“Kemungkinan dalam tujuh kerusi ini mungkin akan berlaku perubahan tetapi bergantung kepada perbincangan di peringkat pimpinan parti,” tambah beliau.
Setakat ini, PAS masih menunggu keputusan muktamad hasil daripada perbincangan bersama parti komponen lain dalam PN untuk menentukan calon dan strategi terbaik bagi PRK tersebut.
PRK berkemungkinan berlaku di tujuh kerusi berkenaan ekoran tindakan Ahli-ahli Parlimen dan ADUN daripada BERSATU di kerusi berkenaan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Mereka ialah Dato’ Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dato’ Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sementara, ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula belum dipastikan kedudukannya selepas menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. – HARAKAHDAILY 29/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!