YT, UniSHAMS kukuhkan kerjasama strategik SG4

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerjasama yang dijalin antara Yayasan Terengganu (YT) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) hari ini disifatkan sebagai usaha yang amat diperlukan untuk negeri State Government 4 (SG4).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, memorandum perjanjian berkenaan melibatkan kerjasama bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) antara YT dan UniSHAMS.

“Saya melihat ini sebagai satu usaha yang amat perlu untuk mewujudkan kerjasama strategik antara negeri State Government 4 (SG4) yang bukan sahaja melibatkan segmen pembangunan pendidikan tetapi dalam semua bidang bagi tujuan mencapai kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Terengganu dan UniSHAMS di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan delegasi kerajaan negeri.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan kepada pendidikan dalam memastikan semua rakyat berpeluang mendapatkan pendidikan yang sempurna dan terbaik.

“Saya percaya, prinsip ini akan melahirkan modal insan berkualiti dalam pelbagai bidang yang akan menyumbangkan kembali kepada negeri dan negara.

“Atas asas ini, kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu telah memperkenalkan Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) pada Tahun 2019 bagi membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama sama ada dalam mahupun luar negara.

“Hasilnya, pemberian biasiswa ini telah banyak membantu pelajar cemerlang khususnya di kalangan kategori B40 serta M40 dan sekali gus merangsang semangat anak-anak pelajar untuk terus mencatatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan SPM, STPM dan STAM,” katanya.

Tambah beliau, semenjak 2019, YT memberi banyak tumpuan bagi menghantar pelajar-pelajar terbaik negeri dalam bidang perubatan, pergigian ke negara Timur Tengah antaranya Jordan dan Mesir di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap program ini adalah sangat menggalakkan, namun pengaruh faktor global seperti keadaan ketidakstabilan ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik telah menyebabkan kos pengajian semakin meningkat saban tahun.

“Sebagai langkah proaktif bagi menangani situasi ini, kerajaan negeri berhasrat untuk membuka laluan pengajian dalam negara sebagai alternatif bagi membolehkan lebih ramai anak Terengganu berpeluang mengikuti program ini.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu telah memilih UniSHAMS yang merupakan satu-satunya universiti swasta milik penuh Kerajaan Negeri Kedah yang menawarkan Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dengan kadar yuran pengajian yang paling rendah berbanding IPTS yang lain,” katanya.

Setakat ini, kata beliau, seramai 13 orang pelajar telah pun memulakan pengajian perubatan di UniSHAMS dan kesemuanya berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan yang berlangsung baru-baru ini.

“Tahniah serta syabas saya ucapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2024

- Advertisement -