UniSHAMS dan YT memartabat pendidikan anak bangsa

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin perjanjian kerjasama yang ditandatangani antara Yayasan Terengganu (YT) dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) akan menjadi titik permulaan kepada satu usaha yang sangat baik untuk memartabatkan pembangunan pendidikan dalam kalangan anak bangsa.

- Advertisement -

Sanusi berkata, UniSHAMS merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) milik Kerajaan Negeri Kedah yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Negeri Jelapang Padi mampu melahirkan ahli perubatan yang memberikan sumbangan balik serta menaburkan khidmat bakti kepada masyarakat.

“Justeru kami amat mengalu-alukan untuk anak-anak Terengganu merantau menuntut ilmu ke Kedah, merasai pengalaman hidup di negeri Kedah, membantu apa yang perlu dan bawa balik ke Terengganu apa yang baik dari negeri kami,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Yayasan Terengganu dan UniSHAMS di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat dan delegasi Kerajaan Negeri Kedah.

Beliau berkata, hasrat Yayasan Terengganu untuk menghantar pelajar anak negeri itu bagi mengikuti pengajian dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) UniSHAMS, dan seterusnya menjadi doktor perubatan muslim yang akan mempraktikan nilai-nilai Islam amat bertepatan dengan apa yang ditawarkan.

“Ini kerana pelajar UniSHAMS diwajibkan untuk melengkapkan kursus wajib universiti, yang merangkumi pengajian Bahasa Arab, Al-Quran dan Hadis serta fatwa kontemporari berkaitan dengan bidang perubatan.

“Insya-Allah, menerusi pendedahan kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam silibus kursus wajib universiti serta penglibatan dalam pelbagai aktiviti di bawah kelolaan Pusat Hal Ehwal Pelajar yang berteraskan Islam, graduan program MBBS mampu untuk memupuk dan membina sifat holistik dan seterusnya membentuk keperibadian yang unggul dari akhlak dan keilmuan,” katanya.

Selain itu, kata beliau, semua pensyarah yang terlibat dengan pengajaran klinikal di hospital bawah Kementerian Kesihatan (KKM) adalah pakar-pakar yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang perubatan.

Pada masa sama, kata beliau, berdasarkan kuota pengambilan tidak melebihi 50 pelajar setiap tahun yang ditetapkan oleh Lembaga Perubatan Malaysia (MMC), kadar nisbah pelajar berbanding pensyarah adalah sangat baik dan pengendalian Program Mentor-Mentee yang mantap akan membolehkan pelajar mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran secara optimum.

“Suasana persekitaran pusat pengajian yang penuh ketenangan dan kedamaian di kampus UniSHAMS, kos sara hidup yang rendah di Kuala Ketil, serta yuran pengajian yang rendah berbanding dengan IPTS lain menjadikan UniSHAMS destinasi pengajian pilihan kepada pelajar untuk menempuhi kembara menuntut ilmu dengan sebaiknya,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2024

- Advertisement -