
KUALA LUMPUR: Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) mencadangkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapatkan tambahan RM14 juta daripada Kerajaan Negeri Selangor agar rakyat tidak dibebankan.
Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain yang memerlukan pendapatan tambahan juga perlu dibantu oleh kerajaan negeri.
“Bantuan perlu dihulurkan sehingga keadaan ekonomi pulih sepenuhnya iaitu apabila rakyat tidak lagi terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.
“REACH yakin Selangor sebagai negeri maju memiliki kemampuan untuk membantu rakyat yang hari ini berhadapan dengan pelbagai masalah.
“Kami yakin rakyat akan amat berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri jika kenaikan cukai taksiran ini ditangguhkan,” katanya beliau dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa PBT telah mengumumkan kenaikan cukai taksiran yang akan berkuatkuasa tahun hadapan.
“REACH memahami PBT memerlukan pendapatan tambahan memandangkan kos-kos penyelenggaraan yang sudah tentu meningkat.
“Namun begitu PBT mesti memikirkan nasib rakyat yang berhadapan dengan kos sara hidup yang juga meningkat. Tidak wajar untuk menambah beban rakyat.
“Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dr Ani Ahmad pada 27 April lepas, pendapatan tambahan dari kenaikan cukai taksiran adalah RM14 juta setahun.
“Pendapatan tahunan mereka sekarang adalah RM85 juta setahun. Pemilik-pemilik premis di kawasan MPAJ telah menerima notis kenaikan cukai taksiran sejak bulan April lalu,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!