‘Manfaat Budi Madani: Tauke besar atau kuli di kampung?

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Nak tanya, ini tatakelola ‘wewenang’ atau ‘hak/kekuasaan (untuk berbuat sesuatu)’ jenis mana?” 

Itu persoalan yang diutarakan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden susulan pengumuman kerajaan mengenai subsidi diesel yang akan dihapuskan, dan rakyat yang layak memohon diperlukan pula mendaftar dengan Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) di bawah Kementerian Kewangan.

- Advertisement -

“Hari itu (sebelum ini) rakyat disuruh daftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU). Menteri kata, siapa tak daftar PADU, nanti akan tercicir, tak dapat bantuan kerajaan, tak dapat subsidi. Maka, ramailah yang daftar PADU.

“Tiba-tiba hari (sekarang) ini, kerajaan umumkan rakyat yang layak kena daftar melalui Budi Madani pula untuk dapat subsidi, RM200 sebulan. 

“Habis, data PADU itu jadi apa? Kenapa tak dipakai untuk dapat subsidi ini? Kenapa rakyat kena daftar lagi?” soalnya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya, hari ini.

Ahli Parlimen Alor Setar ini juga menimbulkan persoalan kenapa rakyat kini perlu mendaftar semula dengan Budi Madani (selepas sudah mendaftar dengan PADU), seolah-olah tiada perbincangan antara Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi.

Sedangkan menurut Afnan lagi, Menteri Ekonomi sebelum ini dalam jawapan di Parlimen berkata, PADU akan berfungsi sebagai sistem rentas kementerian.

“Semua kementerian (menurut kenyataan Menteri Ekonomi tersebut) akan guna data (PADU) ini untuk apa-apa program bantuan kepada rakyat, termasuklah dasar pemberian subsidi bersasar,” jelas Afnan.

Dalam pada itu, beliau juga menyentuh tentang pengumuman kerajaan bahawa khusus untuk golongan petani dan pekebun kecil, difahamkan mereka boleh memohon subsidi melalui Budi Agri-Komiditi pula, tetapi perlu mendaftar terlebih dahulu dengan Kementerian Pertanian dan Kementerian Perladangan. 

“Daftar lagi sekali.

“Tak cukup dengan itu, petani terbabit mesti ada pendapatan sekurang-kurangnya RM4,166 sebulan, atau RM50,000 setahun. (Syarat untuk layak dapat subsidi, mesti ada pendapatan antara RM50,000 hingga 300,000 setahun, itu yang dimaklumkan kerajaan Madani).

“Kalau (golongan) tauke, senang-senanglah mereka dapat jumlah sebanyak itu. Namun,  kalau petani di kampung-kampung yang jual di pasar pagi, pekan hari, atau tepi jalan, tak mudah nak dapat jumlah sebanyak itu. Bahkan ada yang tak pernah dapat jumlah sebanyak itu (dalam tempoh) sebulan.

Sehubungan itu, beliau menimbulkan persoalan golongan mana yang sebenarnya akan mendapat manfaat besar daripada penyasaran subsidi tersebut? 

“Tauke besar atau kuli di kampung?” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -