Kerana sotong, pejabat YB Tangga Batu ‘diserbu’

- Advertisement -

TANGGA BATU:  Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu di Tanjung Minyak Perdana di sini diserbu orang ramai yang datang untuk mengambil sotong percuma diedarkan pusat tersebut, semalam. 

- Advertisement -

Program edaran sotong percuma tersebut yang diuar-uarkan dalam media-media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak malam sebelumnya itu mendapat sambutan luar biasa apabila orang ramai mulai hadir seawal jam 9:45 pagi.

Lori yang membawa 1 tan sotong itu tiba di pusat khidmat tersebut pada jam 10:30 pagi dan pengagihan dibuat serta-merta dengan dibantu oleh lebih 10 sukarelawan pusat khidmat tersebut.

Berdasarkan rekod pusat Khidmat, hampir 300 mendaftar untuk mendapatkan sotong tersebut yang diberi secara percuma dari jam 10:30 pagi hingga 12:00 tengah hari.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin yang ditemui dalam pada itu telah menyifatkan bahawa program tersebut sebagai berjaya walaupun jumlah sotong diagihkan tidak banyak. 

“Mereka (penduduk) gembira, walaupun yang kita iklankan ikan, tapi hari ini yang datangnya sotong. Jadi saya kata tak apa sebab sotong lebih mahal dari ikan. 

“Saya juga dengar ada keluar dari mulut mereka ‘wah dah lama tak makan sotong’. Sebab sotong sekarang mahal. Jadi bagi kita rezeki merekalah,” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan kegembiraan kerana penduduk dilihat memberi perhatian kepada media sosial miliknya kerana kebanyakan mereka mengakui membaca maklumat tersebut melalui media sosial dan hadir beramai-ramai walaupun dalam notis singkat.

“Jadi sebenarnya saya ucapkan terima kasihlah, bermakna masyarakat Tangga Batu ni dia berinteraksi dengan saya melalui media sosial. Jadi dia tahu apa wakil rakyat buatlah.

“Saya sebenarnya sangat gembiralah kerana selama ni bila kita tengok mereka tak komen dalam Facebook kita, kita rasa macam rakyat macam tak tahu kita buat kerja,” katanya.

Jelas Bakri, bekalan sotong tersebut adalah sumbangan dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Ikatan Cina Melaka hasil inisiatif Ketua Penerangannya, Bryan Goh Han Meng yang pernah bersama memperjuangkan isu peniaga-peniaga di Bandar Hilir yang terkesan akibat penutupan jalan.

“Insya-Allah program ini akan kita jalankan secara berkala, mungkin sebulan sekali. Tapi insya-Allah juga nanti kita akan gunakan peruntukan yang diberi oleh NGO ini untuk kita bantu juga kita punya Ahli Parlimen di Jasin,” katanya.

Sementara itu Bryan, 37, ketika ditemui dalam program itu berkata, pihaknya aktif menjalankan program kemasyarakatan seperti itu semenjak berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 beberapa tahun lepas.

“Sekarang ni NGO Pertubuhan Ikatan Cina Melaka ini sudah masuk tahun keempat dan kita banyak menumpukan kepada aktiviti kemasyarakatan khususnya untuk masyarakat luar bandar.

“Semasa berlaku COVID-19 masyarakat kita ramai hilang pendapatan dan susah. Tetapi lepas pandemik ni reda kita tengok di kawasan bandar pendapatan rakyat nampak dah okay, tetapi di kawasan luar bandar nampak masih susah. Sebab itu kita fokus di kawasan luar bandar,” katanya.

Tambahnya, walau pun Pertubuhan Ikatan Cina Melaka membantu tidak mengira bangsa dan agama demi untuk mengeratkan lagi integrasi antara kaum dan agama, namun pada masa ini badan tersebut memang banyak menumpukan pada masyarakat Melayu.

“Kita nak mempertingkatkan semangat saling bantu membantu. Kita banyak membantu pusat tahfiz, rumah orang-orang tua, rumah anak-anak yatim, madrasah-madrasah dan sebagainya.

“Malah hari ni kita pada awalnya rancang nak bagi ikan, tetapi pembekal kita kata tak apalah sebab nak bagi ramai orang kita bagi yang mahal sikit. Kita bagi sotong,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -