DRT-Asia Mobility: PH memungkirkan janji, manifesto sendiri

Sabirin Marsono
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat sedang memungkirkan  janji dan manifestonya sendiri bahawa tiada kroni dan pilih kasih dalam pemberian kontrak kerajaan kepada pembekal, susulan pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobility) sebagai syarikat pengendali perkhidmatan Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Selangor, Sabirin Marsono berkata, hal ini berikutan pemilik kepentingan Asia Mobility, Ramachandran Muniandy ialah suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan kontrak itu diperolehi secara runding terus tanpa tender terbuka.

- Advertisement -

Menurut beliau, walaupun Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han memberikan alasan bahawa Asia Mobility telah memenuhi syarat kelayakan cadangan untuk pelaksanaan projek ini, namun pelantikan, namun alasan tersebut merupakan pencabulan dan percanggahan terhadap janji dan manifesto PH.

“(Janji dan manifesto PH sebelum ini) Bahawa tiada sebarang projek secara rundingan terus akan dilaksanakan apabila mereka memerintah. Adakah pengecualian istimewa diberikan kepada DAP dan kroninya? 

“Ternyata DAP dan pimpinannya sangat hipokrit dan telah membuang semua prinsip yang mereka perjuangkan melalui CAT (Competency, Accountability and Transparency) ke dalam tong sampah.

“Walaupun diakui bahawa DRT sangat bermanfaat untuk rakyat Selangor, namun ia tidak mewajarkan prosedur perolehan kontrak ini dicabul sebegitu rupa oleh kerakusan dan hipokrisi Pakatan Harapan dan pemimpin-pemimpinnya; cakap tak serupa bikin. 

“Kerajaan Negeri Selangor perlu bertanggungjawab dan melakukan semakan dan penjelasan segera terhadap isu ini,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa kerajaan Selangor telah memperkenalkan sistem Van DRT Mobiliti Selangor bagi menggantikan kemudahan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit yang akan dilaksanakan melalui bajet bernilai RM25 juta oleh kerajaan negeri 2023 bagi tujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang utama seperti rel dan bas.

Sementara Asia Mobility dalam kenyataan media pada Isnin (27 Mei) berkata, pelantikannya sebagai salah satu daripada dua syarikat yang dipilih sebagai pengendali perkhidmatan DRT di bawah inisiatif Selangor Mobiliti telah dilakukan melalui proses awam hampir setahun yang lalu.

Sehubungan itu, Sabirin berkata, difahamkan bahawa kontrak bagi perkhidmatan DRT telah diberikan kepada kepada Asia Mobility dan Badan Bas Sdn. Bhd. sebagai syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 20 September 2023 bagi memberikan perkhidmatan DRT ini kepada rakyat Selangor.

“Dimaklumkan juga bahawa satu lagi rundingan sedang berjalan dengan Kumpool atas tujuan yang sama sebagaimana dinyatakan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han melalui  akhbar The Star pada 1 November 2023,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2024

- Advertisement -