TANGGA BATU: Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mempersoalkan kenyataan Kerajaan Madani sebelum ini yang mengisytiharkan tiada lagi miskin tegar di Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
Tegasnya, hasil lawatan beliau berkunjung ke rumah-rumah penduduk dan laporan-laporan yang diterima melalui Pusat Khidmatnya tidak menunjukkan sebagaimana dinyatakan itu.
“Hari ini saya menziarahi seorang penduduk Tangga Batu yang tinggal di Kampung Gelam, saya dapati kehidupannya sangat daif. Tidak mampu mendapatkan bekalan air paip kerana kesukaran hidup.
“Saya sangat sedih melihat keadaan beliau yang sekarang ini menghidap penyakit payu dara, tidak mempunyai pekerjaan tetap. Seorang wanita tetapi hanya kerja kampung sahaja dalam masa yang sama turut menjaga seorang anak angkat OKU,” katanya.
Tambahnya, beliau menerima aduan daripada badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) Tangga Batu terhadap kesusahan ibu tunggal tersebut, iaitu Rasimah Ibrahim, 47, yang tinggal di rumah peninggalan keluarga sangat daif dan memerlukan bantuan.
“Hasil aduan tersebut saya datang ke sini untuk melihat sendiri keadaan rumah beliau jadi saya lihat memang daif. Tiada bekalan air. Saya juga difahamkan bekalan elektrik baru dimasukkan oleh seorang penderma yang menampung kos pendawaian.
“Rasimah juga sepatutnya hari ini menjalani pembedahan penyakit beliau tetapi pihak hospital menangguhkan dahulu kerana beliau demam,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Bakri turut berjanji untuk menyambung semula bekalan air paip rumah yang terputus akibat masalah kewangan dihadapi wanita itu.
Beliau berkata demikian sewaktu menziarahi rumah Rasimah yang terletak di Kampung Gelam, di sini, pada petang semalam bagi menyampaikan sumbangan kit makanan oleh Muafakat Nasional.
Bakri turut menzahirkan komitmen untuk mengusahakan bantuan membaik pulih rumah tersebut yang berkeadaan sangat uzur melalui bantuan oleh NGO Muslim Care Malaysia (MCM).
“Saya tak ada peruntukan oleh kerajaan. Tetapi kami ada beberapa rakan NGO seperti Muslim Care yang banyak membantu selama ini.
“Kita tak janji tetapi kita cuba untuk mohonkan bantuan itu. Sekiranya pihak NGO ada dana yang cukup insya-Allah kita akan salurkan secepat mungkin,” katanya.
Pengerusi Muafakat Nasional Tangga Batu, Abdullah Ali dalam pada itu berharap agar Rasimah dapat dibantu oleh pihak Ahli Parlimen Tangga Batu melalui saluran-saluran yang sesuai.
“Kita pun faham bahawa YB tak dapat peruntukan. Tetapi kita sama-sama cuba membantu apa yang termampu dalam keterbatasan kita.
“Seperti hari ini kami di pihak Muafakat Nasional Tangga Batu menyampaikan sedikit sumbangan kit makanan. Tidak banyak, tetapi diharap dapat meringankan beban Puan Rasima,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/5/2024