AstraZeneca bukan punca kes serangan jantung

Noor Hisham Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku tiada kaitan dengan pemberian vaksin AstraZeneca (AZ).

Mantan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hal demikian kerana tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin berkenaan kebelakangan ini.

- Advertisement -

“Kesan sampingan yang dikatakan berkait dengan vaksin AZ adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT). 

“Ia adalah penyakit darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. 

“Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu (sebulan) selepas menerima vaksinasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada ketika itu menerima laporan berkenaan VITT, namun vaksin itu perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi.

Oleh demikian, beliau yang juga Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), meminta agar orang ramai tidak bimbang akan sampingan vaksin AZ kerana vaksinasi telah berlalu bertahun lamanya.

Terdahulu, warga London, Jamie Scoot, mengalami kecederaan otak kekal selepas mengalami pembekuan darah dan pendarahan di otak, sehari selepas divaksin pada April 2021.

“Kes mahkamah yang diuar-uarkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom ketika pandemik Covid-19 dan ia bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, golongan berisiko tinggi adalah individu yang mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini dan mereka tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AZ.

Beliau menyatakan, KKM mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi untuk tidak menerima vaksin AZ dan pengesanan awal jika kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) berlaku.

“Insiden kesan samping VITT juga sangat rendah iaitu empat kes dalam setiap satu juta suntikan. Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu, ia lebih selamat. 

“Selepas jangkitan Covid-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) adalah setinggi 165,000 kes dalam satu juta jangkitan. 

“Insiden darah beku dalam kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam satu juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” ujarnya.

Tambah beliau, serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, kolesterol dan kencing manis.

“Orang ramai diminta membezakan antara kesan samping darah beku VITT dengan masalah pembekuan darah yang lain.

“Diagnosa tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan. 

“Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!