(Travelog) Dari Nigeria ke Malawi

Menjelang musim Haji dan Aidiladha 2024

- Advertisement -

4 JUN 2022 – Sabtu

- Advertisement -

Jam di dinding terus berdetak, menunjuk waktu 8:25 malam. Penat otak penat tubuh penat semua. Sehari suntuk hari ini aku manfaatkan untuk ‘servis’ rumah. Tukang baiki atap rumah, Ise Bekok, sejak awal pagi datang ke rumah bersama Naziey. Mereka bersarapan di rumah dengan sebungkus nasi berlauk ayam. 

Usai makan Ise ku minta membaiki atap rumah Abah yang selalu tiris dek hujan. Zink lama, paku karat, kayu buruk. Katanya, “Abe Me odarlah zink baru, nati kita tukar belaka atas tu”. Mudah katanya.

Naziey pula diminta membaiki beberapa lampu dalam rumah serta memasang dua lagi lampu di ‘awning’ hadapan. Cekap dan teliti. Katanya ilmu pendawaian elektriknya telah lama tidak diasah. Asyik pandu lori kelapa sawit sahaja, habis hilang ilmu lama yang diperoleh sewaktu kursus zaman muda dahulu. 

Sebelum asar si Ah Tee, Cina Pomen Ekon pula tiba. Menggeleng kuat dia petang ini. “Aiya boss, lu punya complesser ekon manyak semut woo. Masuk lalam bikin salang, belanak ala telur manyak, itu jam la ekon lu talak sejuk maa”. Cakapnya laju dan belum fasih sangat loghat Kelantan. Seingat aku Ah Tee hijrah dari Perak. 

Menjelang Maghrib, Pakcik Robi pula tiba membaiki kepala ‘stop cord shower’ yang rosak. 

Ah keletihan. Rasa mahu melelapkan mata awal malam ini.

Malam tadi benda sama berlaku. Pokmid selaku Ketua Misi Korban, yang dijadual bulan hadapan, memanggil mesyuarat Google Meet kedua-dua pasukan yang akan turun ke Nepal dan juga Nigeria.

Aku sertai mesyuarat 10 minit sebelum jam 10 malam. Aku dengar taklimat Pokmid sayup sayup dalam kelelahan. Jadual perjalanan ke Nepal dan Nigeria dibacakan ‘details’, berserta pengalaman Pokmid di Nepal yang dilewatinya tidak lama dahulu. Kemudian dibincangkan soal harga lembu, kerbau dan kambing bagi kedua-dua lokasi.

Aku cermati lagi ucapan Pokmid sambil mataku pejam seketika. Jam baru 10:20 malam. Tapi kenapa suara Pokmid semakin perlahan? ‘Meeting Google Meet’ macam ni untung, boleh bincang dalam gelap, sambil baring dibantal, off kan ‘camera’ dan ‘mic’ telefon, dengar aja apa butir bicara Ketua Misi. Ya zaman PKP COVID-19 ni ia amalan biasa. 

Seketika Pokmid bertanya mana Nazman? Aku celik mata semula, tapi tidak menjawab. Ah, kacau, mengantuknya. 

Aku tewas. Antara dua arahan akhir yang aku dengar hujung hujung telinga, adalah “Nazman kena atur pertemuan dengan YAB MB bersama semua ahli misi untuk dengar taujihat” dan satu lagi kalau tak silap dimintanya aku membelikan tiket untuk Kakti dan Ustaz Nasir dari KB ke KLIA pada 6 Julai nanti.

Selebihnya suara Pokmid tenggelam dalam dengkuran. Jam 5 pagi aku tersedar dan melihat di skrin telefon, ‘the host has ended the meeting‘. Aduh terlena. Pukul berapalah meeting semalam tamat? Apalah arahan lain yang Pokmid sebut malam tadi? Nahas aku kalau Pokmid tahu!

6 JUN 2022 – Isnin

“Gila Saudi Arabia, tukar tarikh flight”, tulis Pokmid tiba-tiba dalam group WhatsApp pada jam 1:44 pagi. 

Aku yang kebetulan belum lagi tidur, segera memintas dengan cemas, “Jadi 23 Julai? Sepatutnya 7 Julai? Dinihari kan?”. 

Ah kacau sungguh Saudi Airlines buat kerja pelik macam ni! 

Kita nak ke Kano, Nigeria pada 7 Julai dinihari tapi diubahnya ke 23 Julai! Tenat sungguh kes ni. Tiket semua dah berbayar, sekitar RM4,500 setiap orang, aduhai. 

Pokmid mengirim tiga tangkapan layar (print screen) akan mesej daripada Saudi Airlines kepadanya dengan satu komen marah, “gila babi!”.

Aku tersipu seorang dalam keheningan malam. 

Entah apalah orang tua ni buat pada jam 2 pagi, sempat buka emel, berkongsi berita cemas pertukaran tarikh penerbangan, dengan sumpahan keras sekali. Haha….

Aku cuba menenangkan Pokmid dengan bertanya, “Meme Saudia Airlines gila gini sokmo ko Be Mid? Huru hara ni”. 

Jawab Pokmid ringkas, “Tak tahu laaa. Kena tukar ke Nepal belaka dah la. Malu kok rang. Ataupun negara lain yang dekat”. 

Aku yang pada awalnya mahu menenangkan Pokmid, bertukar menjadi saru, haru-biru. “Pahtu tiket hak beli dah tu, kira burn ko be mid? Takdok ruang tunggu syarikat penerbangan akan reschedule smula?”. 

“Boleh batalkan atau setujui tukar tarikh”, jawabnya pula. 

Dialog kami di dalam grup wasapn itu berlarutan apabila Kak Ti datang mencelah. Sembang bincang tiada keputusan. Akhirnya jam 3 lebih, semua senyap. Tidur dalam cemas. Cemas pun tidur juga. 

Keheningan Subuh dipecahkan dengan teks pesanan Ustaz Nasir, “Parok benar Saudi Arabia ni”. 

Seketika Cikgu Bokeri Amal Perlis muncul, “Semoga semuanya berjalan lancar n d permudahkn segala  urusan spt yg d rancang.. Aamiin..”. 

Tapi pantas sahaja dibalas semula Ustaz Nasir, “Perjalanan berubah..tidak lancar..byk cuti lgi bgi yg bekerja..kos pun bertambah”. 

Namun hikmah orang lama, Cikgu Bokeri kembali menenangkan, “Insyaa Allah ustaz.. Jgn putus ikhtiar n harapan. Mungkin ujian ini ada hikmahnya.. Tp sy yakin berkat doa ust n kwn2 n kebijaksanaan tok ketua kita.. Insyaa Allah akan ada sinar kejayaannya..”.

Pokmid kemudiannya menukar nama grup kepada “Korban x Jadi Nigeria”. Dan seketika ditukar lagi menjadi “From Nigeria to MALAWI”.

Gurau Pokmid dalam ketegangan minda pagi ini, “Malawi Afrika ya, bukan Melawi Bachok”. 

Sambut Cikgu Bokeri pula, “Dlm travelog.. Kena masukn c kit ayat org utara.. Punya la kelam kabut.. Mujuq tak dak yg mati terkejut..”.

Hahaha.

Itulah hikmah orang lama, sentiasa tenang dalam ujian. Ia pedoman amat berguna bagi kami.

Kini, fokus dihalakan ke Malawi. Aku diarahkan Pokmid untuk berhubung dengan Siti Syafina Mariam Banda daripada pertubuhan IMWU Malawi. 

Perbincangan positif. Mereka alu alukan misi kami ke Malawi yang hanya wujud 13% Muslim. 

Satu mesyuarat melalui Google Meet telah aku cadangkan kepada Siti Syafina dalam masa terdekat. Alhamdulillah.

bersambung Bahagian 2

Catatan

NAZMAN CHE IBERAHIM
Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -