Syabas Sofyank dan Khairul Aming!

- Advertisement -

DUA figura pempengaruh popular ini sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan kita. Ikon anak muda dengan bakat dan kelebihan berbeza, kali ini tampil dengan satu video kesedaran berkenaan isu Palestin. Video penerangan dengan kesan visual khas berdurasi 8 minit 3 saat ini merupakan kolabrasi kali pertama antara mereka. Satu kolaborasi yang sangat hebat dan menarik. 

- Advertisement -

Saya huraikan beberapa point penting di dalam video tersebut:

Bahagian pertama video menceritakan sejarah kekejaman Israel terhadap bumi Palestin. Bermula dengan gambaran asal peta Palestin pada tahun 1917, kemudian pada tahun 1948, peristiwa Nakba terjadi; ramai rakyat Palestin syahid, dicederakan dan dihalau keluar daripada rumah mereka. Sepanjang tempoh 76 tahun, lebih 77% tanah Palestin dirampas dan diletakkan sekatan oleh Israel. Tanah Palestin dirampas dan rakyat Palestin hidup seperti di dalam penjara.

Bahagian kedua pula menceritakan apa yang terjadi di Gaza sejak Oktober 2023 sehingga Mei 2024 apabila Israel mula melancarkan serangan yang lebih kejam dan licik. Israel mewujudkan ‘Safe Zone’ yang kononnya memberi perlindungan kepada rakyat Gaza untuk serang tempat-tempat lain, tetapi itu tidak berlaku apabila rejim Zionis menyerang ‘Safe Zone’ tersebut.

Pada awalnya, Israel memaksa rakyat Palestin berpindah ke Utara Gaza, kemudian diserang dan rakyat berpindah ke Gaza City, Deir El Balah, Khan Yunis dan akhir sekali berlindung di Rafah dimana hampir 1.5 juta rakyat Palestin berlindung di Rafah.

Untuk makluman, tidak semua rakyat Palestin mampu berpindah ke Rafah, masih ramai yang berlindung di lokasi-lokasi lain. Manakala saiz Rafah sebenarnya tidak mampu menampung jumlah yang ramai, Rafah sangat kecil, 12 kali ganda lebih kecil dari negeri Perlis.

Beralih ke bahagian ketiga video memberi info berapa yang syahid, cedera dan apa level kerosakan yang terjadi di Gaza sejak 7 bulan yang lepas. Lebih daripada 35,173 nyawa yang syahid, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak iaitu 14,500. Lebih daripada 79,061 masih lagi cedera dan lebih daripada 10,000 masih lagi hilang. Angka sebenar lagi tinggi dan bertambah dari sehari ke sehari. 

Di Westbank, hampir 498 nyawa telah syahid, 124 kanak-kanak, dan hampir 5000 masih lagi cedera. Israel telah memusnahkan lebih dari 50% rumah, 80% komersial fasiliti, 73% sekolah, 83% telaga air, manakala hampir semua pusat perubatan lumpuh. Gaza dikira lumpuh dan ambil masa sangat lama untuk dibaik pulih semula.

Bahagian seterusnya menerangkan apa yang terjadi di Rafah dan Jabalia. Israel masih lagi menyerang Rafah dan memaksa rakyat Palestin berpindah ke ‘Safe Zone’ seterusnya di Al-Mawasi, kawasan tepi pantai yang juga tidak boleh menampung ramai orang juga. Satu lagi kawasan adalah Khan Yunis, kawasan yang sudah dihancurkan. 

Kedua-dua kawasan tiada bekalan asas yang mencukupi. Ini sudah masuk kali ketujuh atau kelapan rakyat Palestin dipaksa berpindah dalam keadaan yang sakit dan lapar. Masih ada lebih kurang 2,500 orang berlindung di Utara Gaza. Sekarang, Israel melancarkan serangan lagi sekali ke Utara Gaza secara spesifiknya di kem Jabalia.

Bahagian terakhir menerangkan tentang kemasukan bantuan asas di Gaza. Ada tiga laluan utama untuk kemasukan bantuan, satu di Utara dan dua lagi di Rafah. Israel meletakkan sekatan kepada rak-rak bantuan untuk masuk ke Gaza. Rakyat Israel sendiri juga ada yang sabotaj bantuan tersebut dengan membakar trak, membuang makanan, dan meletakkan batu-bata di sepanjang laluan. Kini rakyat Palestin terperangkap tanpa bekalan makanan, bantuan, dan keperluan asas. Mereka tiada tempat untuk pergi.

Dari permulaan sehingga ke akhir video, berulang kali dinyatakan bahawa apa yang terjadi di Palestin sebenarnya bukan peperangan tetapi genosid;

“Israel nak bersihkan rakyat Palestin, kalau ini bukan genosid, apa lagi perkataan yang kita boleh guna?”

“Macam mana kita boleh panggil ini satu peperangan jika satu pihak dipenjarakan berpuluh-puluh tahun, tiada bantuan asas yang sepatutnya, dan tiada access kepada dunia luar manakala satu pihak lagi dapat dana berbilion-bilion, dapat senjata-senjata moden dan dapat sokongan daripada negara-negara besar dunia?”

Di akhir video juga mereka mengajak kita untuk sama-sama meneruskan kempen boikot dan mendoakan buat saudara kita di sana.

Syabas dan tahniah sekali lagi buat Sofyank dan Khairul Aming atas penghasilan video yang sehingga kini telah mencecah jutaan view dan ribuan share. Kalian berdua pempengaruh kebanggaan negara, memberi inspirasi dan kesedaran kepada seluruh dunia!

‘AQILAH ABD
Pahang Darul Makmur – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -