SIGMA bantah budaya ‘Speed Dating’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) menggesa pihak yang terlibat khususnya dan masyarakat Islam umumnya untuk menghentikan budaya ‘Speed Dating’ ini agar dapat memelihara kehormatan diri sebagai seorang Muslim seperti yang dituntut dalam Islam.

Pengerusi SIGMA Nasional, Syazni Aizza Mohd Suhaimi berkata, baru-baru ini, Malaysia telah dihangatkan dengan satu budaya Speed Dating yang telah mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi dalam masyarakat terutamanya masyarakat Islam di Malaysia.

- Advertisement -

“Secara umumnya, Speed Dating telah dianjurkan oleh platform dikenali sebagai  ‘NikahNex’. Platform ini membolehkan para peserta untuk berkenalan antara satu sama lain. 

“Setiap wanita akan diberi masa duduk bersama lelaki untuk berbual. Setelah tamat masa, peserta lelaki yang lain pula akan berkenalan dengan peserta wanita tersebut dan begitulah seterusnya.

“Bertitik tolak dengan itu, SIGMA membantah kaedah yang dijalankan tersebut kerana tidak mematuhi syariah dari segi pelaksanaan, pengawasan serta pergaulan antara lelaki dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, hal ini adalah kerana kaedah bertaaruf dalam Islam adaIah menjaga aib dan rahsia antara calon pasangan supaya menjaga maruah pihak-pihak yang terlibat.

“Sesungguhnya Islam membenarkan usaha dalam pencarian jodoh asalkan mengikuti batasan yang telah digariskan oleh hukum syarak,” tegasnya.

Dalam pada itu menurut beliau, SIGMA mengesyorkan beberapa cadangan solusi terhadap permasalahan ini.

“Pertama, individu Muslim perlulah melengkapkan diri dengan ilmu yang benar serta memilih platform cari jodoh yang telah diiktiraf dan diyakini patuh syariah.

“Kedua, pihak Jabatan Mufti di setiap negeri dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlulah mengeluarkan dan menguatkuasakan garis panduan yang jelas kepada pihak yang menyediakan perkhidmatan mencari jodoh agar mematuhi piawaian syariah,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -