Pesawat Qatar Airways pula diterjah gelora udara

Penumpang pesawat Qatar Airways dilaporkan cedera selepas diterjah gelora udara ketika berada di ruang udara Turkiye pada 26 Mei 2024. (FOTO: Must Share News)
- Advertisement -

DUBLIN: Sekurang-kurangnya 12 penumpang cedera selepas penerbangan Qatar Airways dari Doha menuju ke Dublin dilanda gelora udara pada Ahad (26 Mei), dalam kejadian yang hampir sama dialami pesawat Singapore Airlines (SIA) pada 21 Mei lepas.

Penerbangan QR017 yang menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner itu berdepan gelora udara ketika melalui ruang udara Turkiye, namun  selamat mendarat di Lapangan Terbang Dublin sebelum jam 1 petang waktu tempatan.

- Advertisement -

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak lapangan terbang, pesawat berkenaan telah disambut oleh pasukan kecemasan, termasuk pihak polis dan jabatan bomba dan penyelamat, berikutan laporan kecederaan yang diterima pihaknya.

“Insiden berkenaan berlangsung sekitar 20 saat dan terjadi ketika servis penyediaan makanan dan minuman dilakukan.

“Gelora udara itu berlaku ketika tanda tali pinggang dimatikan. Makanan telah tumpah ke paha saya dan menyebabkan seluar saya koyak,” lapor seorang penumpang kepada RTE

Seorang lagi penumpang, Conor, memaklumkan, dia berasa pesawat  itu telah menjunam selama kira-kira lima saat dan melihat seorang pramugari ‘naik ke udara sebelum jatuh’.

Insiden itu berlaku tidak sampai seminggu selepas 71 penumpang pesawat SIA penerbangan SQ321 dari London ke Singapura cedera, manakala seorang maut sebelum ia terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok pada petang Selasa (21 Mei), apabila ia menghadapi gelora udara yang tiba-tiba dan ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy, di Myanmar pada ketinggian 11,277.6 meter kira-kira 10 jam selepas berlepas. – Agensi-HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -