Penduduk Kg Sri Makmur, Gombak gempar rumah dirobohkan

- Advertisement -

GOMBAK: Penduduk Kampung Sri Makmur, di sini, gempar dan hanya mampu berputih mata melihat rumah yang mereka duduki sejak sekian lama, musnah dirobohkan jengkaut pada pagi tadi (27 Mei).

Menerusi video yang tular di media sosial memaparkan penduduk di kampung malang berkenaan, dilihat membantah arahan pemindahan dan cuba menghalang perobohan dilakukan; namun apakan daya, jengkaut yang tanpa mengenal erti kemanusiaan itu dengan rakusnya memulakan kerja-kerja perobohan berkenaan.

- Advertisement -

Insiden berkenaan telah menyebabkan pihak keselamatan terpaksa masuk campur dan menghalang protes penduduk daripada menjadi bertambah buruk.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM), Noora Mustafa berkata, arahan pemindahan di kampung tersebut melibatkan lebih 20 anggota keluarga dan ia disifatkan sebagai pengusiran secara paksa oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Pejabat Tanah Galian Gombak.

“Rumah yang didiami penduduk terbabit adalah satu-satunya tempat berteduh yang ada buat mereka. Justeru, mereka nekad untuk mempertahankannya,” kata Noora merujuk kepada laporan Scoop.

Tambah Noora, sebanyak 14 keluarga peneroka bandar daripada Persatuan Perantau Sri Makmur sebelum ini sudah mendapat tawaran rumah Selangorku dan pampasan pemindahan sebanyak RM1,000.

Namun, apa yang menjadi persoalannya adalah apabila nama sembilan keluarga itu tidak dimasukkan ke dalam senarai tawaran rumah berkenaan.

Semalam, menerusi laporan yang disiarkan Scoop memaklumkan, sembilan keluarga yang merupakan penduduk asal dan sudah lama menetap di Kampung Sri Makmur, di sini, telah diarahkan berpindah pada hari ini (27 Mei).

Ia bagi membolehkan kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan bagi memberi laluan kepada pembinaan dan pembangunan kondominium di kawasan berkenaan. 

“Rayuan mereka telah dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. Mereka yang terlibat ini juga tidak mengemas apa-apa (barang) pun kerana tidak tahu nak pindah ke mana,” jelasnya.  

Terdahulu, penduduk yang terlibat sebelum ini telah menerima notis untuk mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Januari lalu, namun telah ditangguhkan sehingga semalam (26 Mei). 

“Berikutan arahan perpindahan terbaharu itu, pihak kami akan bersolidariti dengan keluarga peneroka bandar itu supaya pengusiran secara paksa tidak berlaku,” katanya. –HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -