Muslim Care serah sumbangan di Melaka

- Advertisement -

TANGGA BATU: Badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia (MCM) menyatakan komitmen untuk merealisasikan impian seorang orang kelainan upaya (OKU) bagi mendapatkan sepasang kaki palsu.

- Advertisement -

Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya sedang mencukupkan dana yang diperlukan bagi membolehkan untuk membiayai tempahan kaki palsu tersebut.

“Insya-Allah kita sedang usahakan. Nilainya lebih kurang RM4,000. Sebab itu kita mengadakan ziarah hari ini untuk mendapatkan maklumat tambahan diperlukan bagimemudahkan pihak kami memprosesnya,” ujar beliau.

Beliau menyatakan perkara itu kepada Harakahdaily usai lawatannya ke rumah pemohon, seorang ibu tunggal yang kini mengusahakan gerai menjual kueh, Norhamimi Hamim, 53, di Taman Krubong Jaya, di sini semalam.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin terdahulu ke rumah Norhamimi bagi menyerahkan borang permohonan bantuan kaki palsu tersebut untuk dipanjangkan kepada MCM, 16 April lalu.

Bakri yang turut hadir dalam lawatan itu menzahirkan ucapan terima kasih terhadap pertimbangan daripada pihak MCM atas permohonan tersebut.

“Kami ni Ahli Parlimen Pembangkang tak terima apa-apa peruntukan. Jadi inilah cara kami panjangkan permohonan bantuan untuk rakyat.

“Saya berharap sangat agar akhirnya Puan Norhamimi ni dapat bantuan kaki palsu untuk mudah dia mencari rezeki berniaga kuih selama ni,” katanya.

MCM juga dalam pada itu telah menyerahkan sumbangan bagi membaik pulih rumah seorang aktivis PAS Tangga Batu, Ustaz Isa Jantan yang terlibat dalam satu kebakaran pada awal bulan ini.

Mohd Johari memaklumkan, sumbangan bernilai RM14,000 yang dipohon melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tangga Batu itu adalah bagi menampung sebahagian daripada anggaran kos baik pulih keseluruhan bernilai RM19,000.

“Hari ini kami menyerahkan sumbangan ini bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh sahabat kita Ustaz Isa. Semoga kita dapat membaiki semula kerosakan yang berlaku seperti sedia kala,” ujarnya.

Penyerahan tersebut dibuat sewaktu berlangsungnya program gotong-royong bagi membersihkan sisa runtuhan rumah tersebut yang terletak di Kampung Bukit Rambai, di sini, semalam drngan turut disertai Bakri.

Ustaz Isa sewaktu penyerahan itu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas bantuan yang diberi itu sambil menitipkan sepotong doa buat MCM dan semua yang membantunya.

“Saya doakan semuanya Allah beri kemudahan dan rahmat, keredaan daripada Allah SWT, dan Allah perluaskan segala rezeki-rezeki. Semoga Allah keluarkan rezeki-rezeki dari bumi, dari langit.

“Yang susah Allah permudah dan Allah luaskan dan Allah beri kesihatan yang sebaik-baiknya untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dan akan dirancang, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Bakri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu menzahirkan ucapan terima kasih yang tak terhingga atas sumbangan yang diberi MCM itu.

“Kos keseluruhan adalah RM19,000. Muslim Care setuju untuk sumbang RM14,000. Bakinya RM5,000 kita Pusat Khidmat usahakan melalui kutipan dan kerjasama dengan NGO Prihatin Melaka.

“Ada dua buah rumah terlibat. Rumah Ustaz Isa ni rosak sebahagian, tetapi rumah Cikgu Rokiah Jantan ni musnah sepenuhnya. Kita baiki dahulu rumah Ustaz Isa,” kata beliau.

Tambah Bakri, untuk rumah Cikgu Rokiah beliau turut memohon daripada MCM bagi membina sebuah rumah baharu.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Muhammad Rajab Akmal Abdul Halim yang menyampaikan sumbangan dikutip daripada PASTI sekitar Kawasan Tangga Batu.

Program gotong-royong tersebut diadakan bagi mengemaskan sisa-sisa runtuhan dan kerosakan akibat kebakaran di kedua-dua rumah tersebut yang terletak bersebelahan bagi membolehkan proses pembaikpulihan dijalankan dalam masa terdekat.

Seramai lebih 30 aktivis PAS, anggota Jabatan Amal Malaysia dari seluruh Melaka dan orang ramai secara sukarela datang membantu dalam gotong-royong tersebut yang berakhir pada tengah hari.

Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Muhamad Anuar Ibrahim dan kakitangan Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu, Shamshahir Shamsudin. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -