Insiden pokok tumbang: UM perlu tempoh 10 hari

Insiden pokok tumbang berlaku di beberapa lokasi sekitar Universiti Malaya pada Sabtu, 25 Mei 2024 susulan dilanda hujan lebat, angin kencang dan ribut petir. (FOTO: Media sosial)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) memaklumkan pihaknya memerlukan masa 10 hari untuk membersihkan serpihan kayu dan pokok berikutan insiden pokok tumbang yang berlaku di beberapa lokasi sekitar universiti pada Sabtu (25 Mei) lepas.

Insiden yang berlaku itu turut mengakibatkan beberapa kolej kediaman turut ditimpa pokok tumbang dan usaha-usaha untuk membuka semula laluan yang terhalang giat dilakukan dan dijangka selesai pada hari ini (27 Mei). 

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan UM, pihaknya berkata, sebanyak 26 kenderaan telah mengalami kerosakan dan 12 laluan jalan raya telah terhalang berikutan insiden berkenaan yang berlaku pada petang Sabtu tersebut

“Selain kerosakan kenderaan, sebahagian infrastruktur kampus turut terkesan dengan nilai kerugian dianggarkan melebihi RM1 juta.

“Walau bagaimanapun, kami memberi jaminan bahawa tiada kecederaan serius ataupun kemalangan jiwa dilaporkan daripada insiden ini,” kata kenyataan itu.

Bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang, pihak UM menegaskan, akan berkolaborasi dengan pihak penguatkuasa tempatan dan jabatan yang berkaitan bagi memulakan langkah keselamatan seperti menilai semula keadaan pokok di dalam kampus untuk memastikan keselamatan semua pihak. 

Tambah kenyataan itu. UM turut menggariskan perancangannya untuk meningkatkan protokol keselamatan, termasuk memperkemas garis panduan penyelenggaraan pokok teduhan, meningkatkan kekerapan pemeriksaan kesihatan pokok, menanam semula spesies pokok yang berdaya tahan terhadap ribut dan menambah baik sistem amaran awal dan kesiapsiagaan bencana.

“Oleh yang demikian, pihak yang terlibat dengan insiden berkenaan diminta untuk menghubungi Pejabat Keselamatan dan Pengurusan Harta universiti untuk tuntutan insurans,” ujar kenyataan itu lagi.

Terdahulu hujan lebat, angin kencang dan ribut petir yang melanda pada Sabtu telah mengakibatkan banyak pokok tumbang khususnya di Bangsar, Kerinchi, Petaling Jaya dan beberapa kawasan di dalam kampus UM.  

Insiden itu turut mengakibatkan beberapa kolej kediaman UM antaranya Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12), Kolej Kediaman ke-13 Universiti Malaya (KK13) dan Kolej Kediaman Dayasari (KK5) mengalami kerosakan. –HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -