Bola sepak: ‘Ada yang terkesan, kata kami berlagak suci’

Zulfadli Zakariah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ada orang yang terkesan dengan teguran kami daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP) mengenai tindakan YB (Yang Berhormat) Exco Belia & Sukan Pahang baru-baru ini dan mengatakan kami berlagak suci.”

Naib Ketua DPPNP, Ustaz Zulfadli Zakariah berkata, ada sebab kenapa pihaknya menegur tindakan Exco Belia dan Sukan Negeri Pahang mempromosikan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, susulan perlawanan persahabatan bola sepak antara Team YB FMK dengan  Team SUKMA Wanita Pahang baru-baru ini.

- Advertisement -

“Teguran yang dibuat adalah atas dasar semangat persaudaraan sesama Islam yang menginginkan kebaikan untuk umat,” katanya.

Namun, beliau mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda Umno Negeri Pahang yang dilihat seperti mahu membandingkan isu yang berlaku di Pahang itu dengan isu parti anjuran sebuah resort persendirian yang beroperasi di Pulau Lang Tengah, Terengganu; yang kemudian  dijadikan asas pelabelan untuk mengatakan DPPNP sebagai munafik.

“Sedangkan (perbandingan tersebut) adalah disifatkan tidak sama dan jauh berbeza dari sudut situasi,” tegasnya dalam satu kenyataan, pada hari ini.

Menurut Zulfadli, pertama, pesta (di  Negeri Terengganu) tersebut dilakukan dalam premis persendirian (private property). 

“(Premis persendirian yang menganjurkan pesta berkenaan) Tidak memohon sebarang kelulusan dari Kerajaan Negeri Terengganu untuk diadakan pesta sedemikian rupa. Tidak ada sebarang promosi baik di media sosial mahupun dari agensi kerajaan tempatan.

“Keduanya, tidak ada seorang pun Exco Kerajaan Negeri (Terengganu) yang terlibat dalam pesta atau parti terbabit yang membolehkan untuk dikaitkan dengan usaha dari Kerajaan Negeri Terengganu (sedangkan merujuk kepada video yang tular, Exco Pahang berkenaan turut terbabit dalam perlawanan persahabatan bola sepak antara Team YB FMK dengan Team SUKMA Wanita Pahang berkenaan)

“Ketiganya, Kerajaan Negeri Terengganu telahpun memanggil penganjur dan dikenakan denda sebanyak RM25,000 di atas penganjuran terbabit,” jelas Zulfadli.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda Umno Negeri Pahang mengaitkan dengan Kerajaan Negeri Terengganu dengan pesta tersebut.

“Ini kerana cara sebegini tidak lain dan tidak bukan hanyalah nak mencari kesalahan orang lain untuk menutup kesalahan sendiri. 

“Namun sayang, yang ditemui bukanlah kesalahan pihak lawan tapi lebih pada kedangkalan diri sendiri. Bahkan ada dalam kalangan Ahli Parlimen DAP yang membantah dikenakan tindakan denda terhadap penganjur (di Terengganu) terbabit. 

“Harapnya saudara Ketua Pemuda Umno Pahang yang masih ada semangat juang Melayu Islam yang tinggi ini beranilah menegur Ahli Parlimen DAP berkenaan walaupun sudah seperahu dalam kerajaan sekarang.

“Akhirnya, terima sajalah teguran dan nasihat dari kami ini atas dasar semangat persaudaraan sesama Islam yang menginginkan kebaikan untuk umat,” tegas beliau mengingatkan untuk kebaikan semua. 

Dalam pada itu, tindakan melabelkan DPPNP sebagai ‘berlagak suci’ disebabkan teguran atau nasihat kepada Exco Belia dan Sukan Negeri Pahang baru-baru ini menurutnya telah mengingatkan  beliau terhadap satu ayat dalam al-Quran surah Al-A’Raf ayat 82 yang berbunyi:

 وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓاْ أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ…Maksudnya : “dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada mereka berkata : halaulah mereka (Nabi luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) diri mereka suci”. 

“Kalimat ini terkeluar dari mulut kaum Nabi Allah Luth bila mana Nabi Allah Luth menegur perbuatan maksiat yang diamalkan oleh mereka namun bukan penerimaan yang baik diterima dari kaumnya bahkan sindiran dari kaumnya.

“Niat kami dari Pemuda PAS hanya bertujuan untuk memperbetulkan cara dan tindakan Exco setelah perbuatan itu disiarkan secara terang-terangan bahkan tanpa segan silu mempromosikan pula dan mengajak tindakan yang sama ditiru dan dijadikan contoh oleh orang yang lain. 

“Bagaimanapun, perkara tersebut dianggap kecil oleh pendukung mereka dan dinyatakan sebagai mudharat yang kecil. Hairan juga dengan penilaian tahap mudharat oleh golongan-golongan ini.

“Namun niat kami ini dianggap sebagai munafik dan bermuka-muka pula seolah-olah mereka tahu kesemuanya isi hati kami,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 27/5/2024

- Advertisement -