PRU16: Masa cepat berjalan, perkasa kekuatan PAS

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS terus memperkasakan kekuatan parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang membabitkan enam buah negeri termasuk Kelantan.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun mandat rakyat masih berbaki kira-kira dua tahun lagi, PAS perlu bersedia sebarang kemungkinan berlaku.

Beliau berkata, tempoh terdekat pihaknya menjangkakan Pilihan Raya Kecil (PRK) membabitkan enam Ahli Parlimen daripada Bersatu, kemudian diikuti oleh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Mandat kita berbaki tiga tahun lagi, tahun depan PRN Sabah. Kemudian PRN negeri Melaka dan Johor, seterusnya PRU ke-16, kemudian PRN enam negeri yang diadakan termasuk Kelantan.

“Masa cepat berjalan, kita kena perkasa kekuatan parti memberi perhatian beberapa perkara iaitu pengukuhan kekuatan parti dari segi cawangan, keahlian dan program parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kubang Kerian kali ke-50 yang diadakan di Maahad Taqqadum Maarif, Pasir Tumboh, di sini semalam.

Pada majlis itu Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mencadangkan kepimpinan PAS kawasan memulakan inisiatif untuk membina Kompleks Tarbiah PAS kawasan sesuai usianya menjengah 50 tahun.

Tuan Ibrahim itu turut membangkitkan agar setiap ahli PAS meneruskan perjuangan dan gagasan ditetapkan parti untuk mencapai kemenangan lebih besar dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata perjuangan PAS turut membabitkan pengukuhan akidah perjuangan parti serta membina keyakinan ahli terhadap keyakinan parti ketika ruang fitnah yang terbuka di media sosial.

“Kita tidak lemah semangat dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan termasuk menyekat peruntukkan ahli parlimen bahkan, insya Allah perjuangan ini tetap diteruskan.

“Ini termasuk pengukuhan akidah perjuangan dan bina keyakinan di kalangan ahli kita di peringkat bawahan kerana hari ini cabaran sangat besar kita ialah media baharu yang terbuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

- Advertisement -