PRU16: Garap kekuatan PAS, sasar tiga negeri

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Mohamed Sukri Omar menyerahkan mock cek Tabung Kemanusiaan Palestin kepada Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebanyak RM9,000 sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS kawasan. (Foto: FB PAS Shah Alam)
- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS menyedari perlunya suatu gabungan muafakat di Sabah dan Sarawak untuk mentadbir negara pada pilihan raya akan datang.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS perlu menyusun gerak kerja parti agar sesuatu kejayaan dapat diterjemahkan dan dirasai oleh rakyat sebagaimana ‘State Government 4’ (SG4) telah menang.

“Alhamdulillah walaupun ada sekatan, tekanan dan royalti minyak tak diberi sebagaimana yang sebelumnya, tetapi usaha-usaha berterusan dibuat, selain kita juga meletakkan sasaran tiga negeri untuk diberi perhatian yang serius iaitu Selangor, Perak dan Pahang.

“Oleh demikian ketiga-tiga negeri ini kita letakkan keutamaan Perikatan Nasional (PN) untuk kita menggarapkan kekuatan. Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kita akan tawan Selangor dan ambil alih Putrajaya, insya-Allah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Shah Alam kali ke-37 di Dewan Seri Hatinie, Plaza Alam Sentral, di sini, hari ini.

Justeru, katanya PAS haruslah berusaha menjadikan medan itu bukan hanya untuk pilihan raya semata-mata tetapi turut menjadi gerakan Islam demi menyelamatkan negara dengan peraturan daripada Allah SWT.

“Ini kerana kami yakin dunia yang selamat dengan peraturan yang Allah turun, peraturan manusia tak mungkin sempurna, tapi Tuhan pencipta manusia mesti sempurna.

“Maka, kita bina keyakinan dan menegakkan keadilan kepada semua kaum. Sering kali kita ingatkan kaum ini bukan pilihan kita, kaum ini ketentuan Allah, Allah menentukan bangsa, kata Allah tujuan bangsa-bangsa ini untuk kita kenal, siapa-siapa yang bertakwa, maka Dia muliakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Beliau berkata, gelombang muafakat telah menyaksikan bagaimana PAS-PN mampu menawan beberapa buah negara dengan strategi.

Di samping itu, katanya, perjuangan juga turut memerlukan strategi yang betul dan tepat sebagaimana sejumlah 18 kerusi diperoleh dalam PRU14, manakala sebanyak 43 kerusi Parlimen dimenangi dalam PRU15 melalui kerjasama PAS dalam gabungan PN. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!