
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari secara sinikal ‘mencabar’ Pakatan Harapan (PH) untuk parti liar Pesta Aloha dianjurkan pula selepas ini dalam gerabak KTMB dengan ditentukan ‘patuh syarat’.
“Apabila salah seorang MP DAP menegur Kerajaan Terengganu kerana mengenakan denda RM25,000 kepada sebuah resort swasta yang menganjurkan Pesta Aloha, tidak kelihatan mana-mana pimpinan PH yang menyatakan ‘tidak setuju’ dengan teguran MP DAP ini,” ujarnya.
Bidasan beliau dilihat menjadi reaksi kepada pertikaian Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng daripada DAP terhadap Kerajaan Negeri Terengganu kerana mengenakan denda RM25,000 terhadap penganjuran parti liar tersebut.
Pada 20 Mei minggu lalu, telah berlangsung Parti Aloha di Resort Summer Bay, Pulau Lang Tengah, di mana penganjur telah dipanggil kerana melanggar Enakmen Hiburan negeri itu, sekali gus mengharamkan penganjuran di masa depan.
Lim dalam pertikaiannya menyifatkan langkah Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui PAS itu tidak masuk akal dan boleh menyumbang kepada kemerosotan industri pelancongan serta menakutkan pelabur.
Dia juga menggesa kerajaan negeri membatalkan denda itu, sebaliknya menggunakan pendekatan yang lebih waras serta menyokong industri pelancongan di mana acara di atas premis persendirian baginya harus dikecualikan daripada jangkauan kerajaan.
Tindakan Kerajaan Terengganu menurut Lim, telah meletakkan duluan berbahaya kerana sewenang-wenangnya mencampuri urusan peribadi, sedangkan rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menganjurkan acara persendirian tanpa takut dihukum.
“Simpati saya dengan keluhan MP tersebut. Justeru, saya ingin cadangkan lain kali penganjur Aloha ini memindahkan lokasi ke gerabak KTMB, tentukan ‘patuh syarat’. Boleh namakan Aloha Madani jika bersesuaian,” ujar Ahmad Fadhli.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu pada minggu lalu turut membidas penganjuran pesta hiburan di atas gerabak milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang disifatkannya telah menonjolkan budaya berhibur melampaui batas. – HARAKAHDAILY 26/5/2024
Artikel berkaitan :
Wajar pesta hiburan melampau atas gerabak KTMB?
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!