Muktamar PAS ke-70 di Kompleks al-Makmur Kerdau

- Advertisement -

KOTA BHARU: Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 diadakan di Kompleks al Makmur, Kerdau yang dijangka diadakan pada awal September depan.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mengikut perancangan awal program tahunan PAS Pusat itu diadakan pada Julai tetapi terpaksa ditangguhkan atas faktor penginapan.

Beliau berkata penangguhan tersebut dilakukan bagi memberi peluang dan tempoh kepada perwakilan seluruh negara untuk merancang tempat penginapan serta mencari lokasi sesuai untuk rehat.

“Muktamar PAS Pusat pada tahun ini akan diadakan di Pahang di Kerdau, mengikut perancangan PAS Pusat telah setuju menunda tarikhnya, asalnya diadakan pada Julai tetapi ditunda September.

“Ini kerana di Kerdau ini masalah utama dia ialah penginapan, dia tiada hotel yang terdekat pun di Jerantut dan Temerloh. Walau bagaimanapun sekitar itu ada inap desa, boleh tinjau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kubang Kerian kali ke-50 di Maahad Taqqadum Maarif, Pasir Tumboh, semalam.

Kali terakhir PAS Pusat mengadakan perhimpunan tahunan seluruh negara itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor dan tahun sebelumnya di Kompleks PAS Kedah, Alor Setar. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

- Advertisement -