Jangan kelahi masalah khilafiah – TG Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam diingatkan agar tidak berkelahi dalam masalah khilaf, sebaliknya perbezaan mazhab dan firqah perlu difahami, demikian seru Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Nasihat itu diungkapkan beliau pada Syarahan Perdana ‘Masa Depan Dunia Islam: Perbezaan Mazhab, Geopolitik Antarabangsa dan Penyatuan Ummah’ sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu dalam penjelasan beliau dalam syarahan tersebut telah menerangkan bahawa mazhab ialah ‘pertelingkahan’ dalam perkara cabang atau furuk, tetapi bersatu dalam perkara rukun dan dasar-dasar agama.

Adapun firqah pula jelas Tuan Guru, adalah kumpulan yang telah menyeleweng daripada rukun dan dasar-dasar Islam, malah ada terkeluar daripada agama kerana kejahilan di mana perlu diselamatkan dan bukan disingkirkan.

Beliau memetik kata-kata Imam Malik untuk hakim atau mahkamah mengendalikan isu murtad, sekiranya ada seratus hujah yang menganggap, tetapi satu sahaja meragukan, maka tidak boleh dijatuh hukum orang itu murtad.

“Selamatkan dia. Kerana konsep kita menyelamatkan manusia berapa banyak yang boleh,” terang beliau yang telah menghasilkan lebih 100 buku diterbitkan pelbagai pihak pada syarahan di pentas utama Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) itu.

Kupasnya, walaupun perbezaan timbul dalam kalangan ahli-ahli kiblat hingga menjadi lapan mazhab yang besar, namun mereka tetap masih berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman serta cabang agama iaitu akidah, syariat dan akhlak.

Malah jelas beliau, lapan mazhab itu juga walaupun mempunyai kitab-kitab berbeza, tetapi para ulama semua mazhab ini bukan sahaja saling bekerjasama antara satu sama lain, bahkan juga berguru antara ulama sesama mereka ini.

Katanya, mereka tidak berkelahi sepertimana terjadi kini disebabkan perbezaan mazhab itu, bahkan mereka mengarang kitab, malah antara kitab itu pula menjadi syarah kepada kitab lain yang dihasilkan.

Juga dalam kalangan ulama tabiin terang beliau, berpegang hal akidah dan fikah dari mazhab berbeza yang di mana setiap perkara atau masalah ditangani dengan baik tanpa menjadi perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Timbulnya salaf dan khalaf, termasuk mazhab Wahabi yang ada pada hari ini. Timbulnya ialah kerana di abad yang keempat, yang ketiga, zaman Abasiyah berlaku penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab.

“Pada awalnya mereka menterjemahkan buku-buku sains, teknologi, buku perubatan, buku pertanian, buku falak, astronomi, macam-macam. Kemudian terjemah buku-buku falsafah. Menyebabkan unsur falsafah masuk dalam ilmu kajian akidah.

“Melahirkan penggunaan akal dalam memahami akidah Islam. Qada dan qadar dan sifat-sifat Tuhan menyebabkan adanya mazhab Muktazilah, Jabariah, Qadariah dan sebagainya,” ujarnya.

Perinci Tuan Guru, keadaan sedemikian hingga wujud penafsiran berbeza misalnya ke atas ayat al-Quran seperti ‘tuhan bersemayam di Arasy’, ‘tangan Allah’, ‘mata Allah’  dan lain-lain yang berlaku kerana kekhilafan bahasa.

Tegas beliau, penafsiran berkenaan tentulah tidak boleh disamakan tuhan dengan makhluk, bahkan masalah khilaf yang berlaku juga tidak boleh ditakwil semudah-mudahnya hingga berlaku penyelewengan.

Menyentuh masalah fanatik mazhab pula ujarnya, ia menyebabkan pengikut-pengikut terlanjur menyesatkan mazhab lain hingga berlaku perkelahian dan saling mengecam pegangan oleh orang lain.

Sementara perbezaan mazhab dalam masalah fiqah jelas Tuan Guru, terjadi kerana para Sahabat RA yang ditugaskan di wilayah-wilayah berbeza, tidak berada di Madinah semasa ayat atau nas mengenai hukum berkenaan diwahyukan.

“Menyebabkan mereka pakai hukum yang belum dinasakhkan. Ini berlaku, ini sebab khilaf. Mazhab-mazhab kalangan Sahabat. Ada mazhab Aisyah, mazhab sebagainya. Zaman dulu tak ada telefon. Tak ada internet, tak ada apa.

“Timbul khilaf dalam masalah cabang. Sembahyang lima waktu. Semua mengakui ini Rukun Islam. Tapi Fatihah ada bismillah, ini khilaf. Kerana bila Nabi sembahyang, kadang-kadang Nabi baca bismillah, baca kuat. Kadang-kadang baca perlahan.

“Mereka yang dengar baca perlahan ini, menganggap bismillah bukan daripada Fatihah. Dengan sebab itu adanya mazhab mengatakan bismillah bukan Fatihah,” ujarnya turut memberi contoh lain.

Antara dikupas dan diberi perincian contoh oleh beliau adalah pada masalah berkaitan wuduk, doa qunut, solat jamak dan qasar, tarawih, azan Jumaat, gaji dan pencen, cukai, kerakyatan serta jawatan kepimpinan.

Khilaf juga terang Tuan Guru, berlaku dalam dalam usul fiqh kerana perbezaan rujukan yang disepakati, namun perdebatan atau perbincangan tetap menjurus kepada maqasid syariah dan hikmah-hikmah.

Menyentuh masalah firqah, Tuan Guru Abdul Hadi mengingatkan betapa tindakan melanggar hukum dan kewajipan Islam yang berlaku turut berkaitan kerana mengalami gerakan-gerakan musuh Islam.

Terang beliau, perkara itu dilakukan apabila setelah musuh berjaya menyekat kemaraan Islam, mereka menukar strategi melawan Islam dari dalam dengan menimbulkan fahaman-fahaman yang salah dalam masyarakat Islam.

Sehubungan itu beliau mengingatkan betapa tanggungjawab sesama umat Islam adalah saling menyelamatkan dengan hujah ilmu termasuk melalui penulisan buku untuk dijadikan bacaan dan rujukan.

Di zaman mutakhir ini katanya, kefahaman seumpama juga perlu diberi berkenaan politik dan ekonomi serta lain-lain kerana wujud pelbagai ideologi yang bercanggah syariat Islam dan disebabkan oleh kejahilan.

Sempena syarahan itu juga telah dilancarkan tiga buku terbaharu tulisan beliau iaitu ‘Sejarah Mazhab Aqidah & Firqah Umat Islam’ dan ‘Hidup Selepas Mati’ serta ‘Muqaddimah Aqidah Muslimin’.

Majlis syarahan dan pelancaran anjurkan Yayasan Permata Ummah (YPU) dengan kerjasama Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS) ini turut menjual buku-buku syarikat tersebut di pesta buku itu. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

- Advertisement -
- Advertisement -