‘Buat inovasi baru tanpa gadai prinsip perjuangan’

Dato’ Iskandar Abdul Samad ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa Kali ke-39 di Adamson Hotel, Kuala Lumpur, hari ini (26 Mei 2024). (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Titiwangsa dicadangkan untuk berinovasi atau membuat satu formula baharu dalam mendekati masyarakat tanpa menggadaikan prinsip perjuangan.

- Advertisement -

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, PAS Titiwangsa diberi harapan yang sangat tinggi oleh PAS Pusat untuk memenangi kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Untuk kawasan tengah bandar, mungkin kawasan yang kayalah. Ramai (kategori) T20 kut kat sini. Jadi, saya berharaplah bahawa kita kena ada formula barulah. Formula baru sebab masyarakat ni berbeza.

“Dan selalu bertukar dia punya cita rasa dari satu masa ke satu masa. Kita tak tukar prinsip kita. Kita tak tukar perlembagaan kita ataupun cara perjuangan kita, tapi cara kita mendekati rakyat. Kena bertukar dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Titiwangsa Kali ke-39 di Adamson Hotel di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberikan contoh penjual burger yang berinovasi daripada burger biasa kepada oblong burger dan terbaharu burger bakar untuk menarik masyarakat membelinya.

“Jadi kita pun kena samalah, kena sentiasa buat inovasi-inovasi baru. Yalah tanpa kita menggadaikan prinsip perjuangan kita. Tak ada masalah. Sentiasa buat inovasi-inovasi baru.

“Jadi Titiwangsa lain daripada di Kuala Pilah. Malah di Titiwangsa ni lain daripada tempat saya di (parlimen) Pandan. Dia memang lain. Di setiap tempat ada dia punya cara-cara tersendiri. Jadi tuan-tuan kena sentiasa buat inovasi. Jadi tak bolehlah kita duduk di takuk yang lama sahaja,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

- Advertisement -