10,000 dijangka kunjungi Pameran Jom Masuk U

- Advertisement -

BACHOK: Seramai 10,000 pengunjung dijangka mengunjungi Pameran Jom Masuk U (JMU) Zon Timur 1 2024 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok, di sini yang bermula semalam.

- Advertisement -

Program dua hari anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan dihoskan oleh UMK menyediakan 62 reruai pemamer yang terdiri daripada universiti, institusi awam, institusi pengajian tinggi swasta dan agensi kerajaan menerima kunjungan para pelajar sekolah dan ibu bapa.

Naib Canselor UMK, Dato’ Prof Dr Razli Che Razak berkata, program JMU menjadi saluran utama bagi menyebar luas maklumat mengenai dasar pengambilan dan pemilihan kemasukan ke IPTA,  politeknik dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Menurutnya, melalui program itu pengunjung akan mengetahui syarat kemasukan terkini dan program pengajian baharu yang ditawarkan agensi di bawah kementerian serta memberi pendedahan berkenaan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan terkini yang berkaitan.

Beliau berkata, ini adalah satu langkah proaktif dalam memastikan bahawa setiap individu mempunyai peluang yang sama untuk mengakses pendidikan yang berkualiti.

“Program ini juga membantu pelajar sekolah untuk memahami pelbagai kursus yang ditawarkan di Universiti dan prospek kerjaya yang berkaitan.

“Dengan pengetahuan yang diperolehi, kita dapat membuat pilihan pendidikan yang lebih berinformasi dan sesuai dengan minat dan bakat anak-anak pelajar,” katanya sempena perasmian program itu.

Katanya, program itu menjadi langkah awal yang bermakna dalam perjalanan pendidikan setiap pelajar sekolah.

Selain itu, tambahnya, program itu turut berlangsung pelancaran majlis Penyerahan UMK@School: Sekolah Angkat, Penyerahan Sijil Duta Akademik dan Perasmian Buku Penasihatan Akademik,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Dato’ Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohammad Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah. – HARAKAHDAILY 26/5/2024

- Advertisement -