Tragedi Nakba 76 tahun lalu kini berulang di Gaza

Serangan Israel terhadap Gaza ibarat Nakba kedua rakyat Palestin.
- Advertisement -

TANGGAL 15 Mei 1948, peristiwa hitam buat rakyat Palestin yang pastinya terpahat jelas sehingga ke hari ini. Bukan sahaja buat generasi rakyat Palestin ketika itu yang terpaksa berputih mata kerana kehilangan tanah air mereka yang dirampas Zionis Yahudi , tetapi turut dirasai oleh generasi terbaru rakyat Palestin yang senantiasa dizalimi dan ditindas di tanah air mereka sendiri.

15 Mei 2024 yang lalu, telah masuk 76 tahun peristiwa tersebut berlalu. Hari Nakbah bukan sahaja diingati sebagai peristiwa hitam buat rakyat Palestin, tetapi buat umat Islam di seluruh dunia sebagai tanda kasih dan sayang terhadap saudaranya yang dirompak tanah air mereka malah hingga ke hari ini hanya tinggal beberapa kerat lagi tanah Palestin sebelum terhapus Palestin dari muka bumi ini.

- Advertisement -

Dari tahun 1947 hingga ke tahun 1949, daripada 1.9 juta rakyat Palestin, seramai 750,000 orang telah dihalau keluar dari tanah air mereka untuk memberi laluan kepada imigran Yahudi yang datang dari seluruh dunia, terutama dari Eropah. Kebanyakan daripada rakyat Palestin tersebut telah melarikan diri ke negara–negara jiran seperti Jordan, Lubnan dan Syria.

Hanya 150,000 rakyat Palestin yang kekal di tanah air mereka yang kemudiannya ditukar menjadi Israel, iaitu 78 peratus daripada negara asal Palestin.

Baki 22 peratus negara asal Palestin yang terletak di bahagian timur diambil alih oleh Jordan dan kemudiannya dinamakan Tebing Barat. Penduduk di Tebing Barat yang tidak tinggal dalam Israel kemudian diberi kerakyatan Jordan .

Jun 1967, Tebing Barat telah dijajah oleh rejim Israel begitu juga dengan Semenanjung Gaza yang ketika itu berada dibawah kawalan tentera Mesir.

Menurut Biro Statistik Palestin, sejumlah 5 juta rakyat Palestin tinggal di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, manakala 1.5 juta rakyat Palestin berada di Israel. Lebih 6 juta rakyat Palestin berselerakan tinggal di negara–negara jiran dan di seluruh dunia.

Ketika rakyat Palestin memperingati Hari Nakba, Yahudi di Israel merayakan Hari Yishuv, iaitu hari memperingati permulaan penempatan awal orang Yahudi di bumi Palestin, iaitu seawal tahun 1880-an.

Ketika itu hanya terdapat 25,000 orang Yahudi di bumi Palestin. Majoriti komuniti Yahudi datang dari Eropah yang ketika itu merupakan bangsa yang paling dibenci di Eropah.

Perang Dunia Pertama menyaksikan British menguasai Palestin dan mula membawa masuk orang Yahudi ke Palestin dalam jumlah yang ramai.

Meletusnya Perang Dunia Kedua menyaksikan lebih ramai orang Yahudi memasuki Palestin dan mula melaksanakan agenda mereka untuk menguasai Palestin di bawah ideologi Zionisme yang sememangnya menghendaki Palestin sebagai negara untuk orang Yahudi.

Dengan sokongan kuat daripada British dan Amerika Syarikat ketika perang Arab-Israel pada tahun 1948, maka jatuhlah Palestin ke tangan Zionis Yahudi.

Maka pada 14 Mei 1948, Pengerusi Kesatuan Yahudi iaitu David Ben-Gurion mengisytiharkan Israel sebagai sebuah negara merdeka yang dirampas daripada rakyat Palestin.

Jangan kita lupa, ketika kita umat Islam di seluruh dunia sedang memperingati Hari Nakbah, Palestin dan warganya ketika ini sedang diserang habis-habisan oleh tentera rejim Zionis Israel khususnya di Semenanjung Gaza. Ketika ini hampir keseluruhan Semenanjung Gaza umpama ranap dilanda gempa bumi dengan lebih 35,000 warga Semenanjung Gaza terkorban akibat serangan ganas tentera rejim Zionis Israel.

Namun menyedihkan, dunia seolah-olah tidak berbuat apa-apa untuk menghalang serangan ganas rejim Zionis Israel yang jelas dilindungi Barat. Negara jiran dari Timur Tengah umpama hanya menjadi pemerhati melainkan beberapa negara seperti Iran, Yaman dan Syria termasuk kumpulan Hizbullah dari Lubnan dan Iraq yang tidak putus-putus menjadi penentang penjajahan dan serangan ganas rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Jika ketika peristiwa Nakba lebih 15,000 warga Palestin dibunuh dengan kejam oleh Zionis Israel dengan lebih 750,000 warga Palestin dihalau dari tanah air mereka, ketika ini lebih 35,000 warga Semenanjung Gaza terbunuh dengan lebih 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal. Ia sebenarnya lebih buruk dan ngeri dari peristiwa Nakba malah lebih tepat jika dikategorikan sebagai pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.

Mengapa terjadinya sedemikian?

Lihat apa yang berlaku di sekeliling Asia Barat serta apa yang terjadi kepada penentang–penentang rejim Zionis Israel. Hizbullah di Lubnan sedang berdepan dengan kebangkitan rakyat Lubnan akibat krisis ekonomi. Syria suatu ketika dahulu adalah penentang kuat rejim Zionis Israel, kini sedang berdepan dengan perang saudara yang tidak pasti bila tamatnya.

Mesir dan Jordan boleh dikatakan berada di bawah pengaruh rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat. Libya berada dalam kancah perang saudara. Begitu juga Iraq yang tidak stabil sama ada dari sudut ekonomi mahu pun politik. Yaman yang baru pulih dari peperangan dan kini menjadi salah satu penentang utama rejim Zionis Israel.

Iran, satu–satunya negara yang berkemampuan untuk berdepan dengan rejim Zionis Israel sedang berdepan dengan pelbagai tekanan baik dari sudut politik mahu pun ekonomi dari seluruh dunia terutamanya Amerika Syarikat.

Negara Arab lain pula seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan beberapa negara Arab lagi dalam proses normalisasi dengan rejim Israel.

Rejim Zionis Israel dengan bantuan Amerika Syarikat sebenarnya sudah berjaya menjinakkan musuh–musuh mereka di Asia Barat untuk terus melangsungkan kewujudan dan keselamatan negara haram Israel . Hampir tiada lagi hakikatnya musuh sebenar rejim Israel di Asia Barat.

Oleh sebab itulah ketika ini Semenanjung Gaza sedang diserang dan dibom bertalu-talu tanpa sebarang rasa takut dan khuatir oleh regim Zionis Israel.

Sudah sampai masa kita bersatu-padu dan bekerjasama memulihkan kembali keyakinan umat dan dunia Islam dalam membela perjuangan rakyat Palestin dan kemerdekaan bumi Al-Quds.

Sudah sampai masa kita umat dan dunia Islam bingkas bangun dari tidur yang lena, yang banyak merosakkan akidah dan keimanan umat Islam. Sudah sampai masa umat dan dunia Islam kembali gemilang di muka bumi ini.

Semoga hari kemenangan dan kemerdekaan bumi Al-Quds bakal direalisasikan tidak lama lagi. Berdoalah kita kepada Allah SWT agar Palestin diberikan kemenangan serta dibuka hati-hati umat dan dunia Islam agar kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu-padu dan menghentikan persengketaan sesama sendiri. Semoga Islam kembali gemilang di muka bumi ini. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -