Tegur subsidi diesel sudah ‘nipis telinga’, kata Hamzah

Dato' Seri Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin mendakwa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim seakan-akan ‘nipis telinga’ apabila ditegur isu berhubung keputusan kerajaan menyasarkan pemberian subsidi diesel tempoh hari.

- Advertisement -

“Rupanya, dalam pemikiran Perdana Menteri, perkara yang menggusarkan rakyat adalah golongan ‘maha kaya’ dan warga asing.

“Padahal, perkara yang meresahkan rakyat adalah kesan pemotongan subsidi minyak terhadap keseluruhan rantaian ekonomi.

“Hal ini yang pastinya akan melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat ketika harga barang sudah pun melambung tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mengakui bahawa pemotongan subsidi diesel hanya melibatkan sekelompok sosiomasyarakat dan dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun.

“Tapi, ini juga bermakna akan ada sekumpulan besar rakyat perlu membayar RM4 bilion itu dari ‘kais pagi, makan pagi’ mereka. Siapa yang akan tanggung kenaikan kos ini? Pastinya, kumpulan M40 dan B40 yang paling merasai impaknya,” ujarnya.

Tegas beliau, Anwar tidak seharusnya membuat kenyataan yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

“Saya cadangkan kepada Perdana Menteri, balik dari Tokyo, Jepun pergi tinjau Pasar Raja Bot, Kuala Lumpur. Lihat sendiri kenaikan harga barang seperti yang dilaporkan media Harian Metro.

“Harga cili padi naik ke RM28 sekilo berbanding RM18 sebelum ini, harga sawi naik ke RM11 berbanding RM7 sebelum ini dan harga kangkung naik ke RM10 berbanding RM8 sebelum ini. Itu baru harga sayur, belum lagi harga barangan keperluan rakyat yang lain.

“Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjangkakan bahawa harga barangan akan naik antara tiga hingga lima peratus susulan pemotongan subsidi minyak. Bila itu berlaku, siapa mangsanya? Fikir-fikirkanlah,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, semua pihak sebenarnya tidak perlu menggunakan formula yang rumit untuk mengenali kesusahan yang dihadapi rakyat.

“Peniaga kecil mana pergi berniaga guna kenderaan bermotor diesel dalam kalangan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDB) seperti yang diumumkan Perdana Menteri?

“Apakah peniaga kecil seperti Makcik Kiah selepas ini perlu mengangkut goreng pisang jualannya menaiki bas awam atau teksi jika mahu menikmati subsidi bersasar? Bila agak-agaknya Menteri Kewangan mahu memperincikan mekanisme ini kepada Perdana Menteri?” katanya.

Hamzah turut mempersoalkan lagi bilakah tarikh pelaksanaannya serta mekanisme kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat.

“Padahal, kali pertama rasionalisasi minyak ini dibentangkan adalah dalam pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu lagi.

“Tapi, setelah lapan bulan, masih tiada pengumuman daripada mana-mana menteri mengenai hal mekanisme penyasaran, mahupun pemberian subsidi baharu.

“Sejak merdeka, belum pernah rakyat dipaksa menunggu sehingga lapan bulan untuk mendapatkan penjelasan berhubung mekanisme pelaksanaan satu dasar yang amat penting terhadap ekonomi negara melibatkan perbelanjaan harian rakyat.

“Jangan sampai rakyat tidak lagi percaya dengan perutusan Perdana Menteri berhubung penyasaran subsidi selepas ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, teguran serta pandangan yang diberikan rakyat adalah sesuatu yang ikhlas kerana mahukan Malaysia berkembang menjadi sebuah sebuah negara yang aman dan makmur.

“Apa yang pasti, rakyat tidak lupa bagaimana Perdana Menteri berjanji untuk menurunkan harga minyak sebelum beliau berkuasa.

“Kegagalan menunaikan janji ini takkan dapat ditutup dengan retorik dan serangan politik semata-mata.

“Dalam hal ini, dasar PN adalah jelas iaitu kami akan sentiasa membela rakyat dan akan terus berusaha untuk membesarkan ekonomi negara agar kemakmuran dapat dinikmati bersama,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kadar pertumbuhan 4.2 peratus bagi suku pertama tahun ini, ia lebih rendah berbanding pertumbuhan untuk tempoh sama tahun lalu, iaitu 5.6 peratus.

Oleh kerana itu, Hamzah mendakwa Anwar telah mengelirukan rakyat dengan ‘angka-angka muluk’ yang tidak menggambarkan keadaan ekonomi semasa yang sebenar. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

- Advertisement -