Semangat wehdatul amal prasyarat kemenangan Islam

- Advertisement -

SANDAKAN: Kerjasama semua jentera sangat penting dengan memberikan bantuan tenaga semaksimum mungkin untuk mencapai kemenangan.

- Advertisement -

Justeru, kata Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan, semangat wehdatul amal itulah yang akan menjadi prasyarat utama untuk mendapat kemenangan.

“Semangat wehdatul amal perlu diperkasakan dengan semaksimum mungkin sebagai syarat kemenangan kita,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Zon Sandakan di Dewan Pavillion, dekat sini hari ini.

Menurutnya, agenda ‘mesti menang’ itu perlu direalisasikan dengan pelbagai usaha dan gerak kerja yang bersungguh-sungguh.

“Saya sangat puji zon Sandakan ini kerana semangat dan kerjasama yang ditunjukkan semua jentera sangat baik.

“Promosikan tokoh-tokoh kepimpinan kita kepada masyarakat umum dengan selalu turun padang membantu menyelesaikan masalah rakyat di samping menjaga kebajikan mereka,” ujarnya.

Katanya PAS di Sabah sejak penubuhannya pada tahun 1988 tidak asing lagi dalam arena politik negeri.

Tmbahnya, PAS terus berkembang setelah melalui beberapa fasa sehingga ke hari ini.

Menurutnya, PAS di peringkat fasa permulaan telah bertanding di tiga kawasan parlimen dengan mendapat undi yang cukup baik.

“Dalam melalui fasa kedua, kita sudah mula menggerakkan dakwah dan institusi pendidikan bagi membina akar umbi yang mentaati perintah Allah SWT,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik.

Beliau berkata, setelah melalui dua fasa awal penubuhannya, PAS terus melangkah jauh memasuki fasa ketiga untuk memulakan misi mencari kemenangan ketika bertahaluf siyasi bersama-sama dalam Pakatan Rakyat ketika itu.

Tambahnya, fasa mencari kemenangan itu terus berjalan sehingga ke hari ini dan dinoktahkan dengan mesti menang dalam siri pilihan raya akan datang.

“Bagi merealisasikan perkara ini kerjasama dari semua jentera sangat diperlukan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

- Advertisement -