Malcom X: Kisah yang boleh dipelajari

- Advertisement -

HAMPIR seabad yang lalu, satu watak yang penting dalam wacana perjuangan Islam di Barat dilahirkan. Malcom X atau nama Islamnya El-Hajj Malik El-Shabazz dilahirkan pada 19 Mei 1925 di Nebraska dalam sebuah keluarga orang kulit hitam Amerika, beragama Kristian.

Lahir dalam keluarga kulit hitam di Amerika, sebagaimana ramai remaja lain, Malcom X terjebak dalam pelbagai kegiatan jenayah di usia mudanya. Beliau pernah ditahan dan dipenjarakan atas kesalahan mencuri.

- Advertisement -

Ketika berada di dalam penjara, beliau mula menjinakkan diri untuk mengenali satu gerakan sivil iaitu Nation of Islam. Walaupun gerakan Nation of Islam membawa fahaman yang menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam, perjuangan menentang diskriminasi mereka menarik perhatian Malcom X.

Selepas dibebaskan dari penjara sekitar tahun 1952, Malcom X terus bergiat aktif dalam gerakan Nation of Islam bersama Elijah Muhammad sehingga beliau menjadi satu watak penting dalam gerakan tersebut.

Malcom X yang mempunyai perawakan yang menarik dan juga kepetahan kata-kata telah membantu Nation of Islam mengembangkan ajaran mereka dan menambah keahlian. Namun begitu setelah beberapa ketika bergiat aktif dalam Nation of Islam, hubungan Malcom X dan Nation of Islam mula retak lantaran daripada beberapa perselisihan faham dengan Elijah Muhammad terutamanya berkenaan dengan tuduhan aktiviti seksual terhadap Elijah dan juga perbezaan pandangan tentang tragedi keganasan polis terhadap pengikut Nation of Islam.

Pada sekitar 1964, Malcom X meninggalkan Nation Of Islam dan menubuhkan Muslim Mosque Inc. Ketika ini juga Malcom X telah benar-benar memeluk Islam aliran sunni, dan buat pertama kalinya pergi menunaikan haji di Makkah.

Ibadah haji telah sama sekali mengubah hidup dan pemikirannya terhadap Islam. Malcom X kagum dengan apa yang disaksikannya ketika menunaikan haji iaitu manusia berbilang kaum dan agama termasuk orang kulit putih menunaikan haji.

Beliau sedar bahawa fahaman Nation of Islam yang menyatakan bahawa agama Islam adalah untuk orang kulit hitam semata-mata adalah fahaman yang salah. Malcom X selepas itu telah menggunakan nama Islamnya El-Hajj Malik El-Shabazz dan bergiat aktif dalam wacana-wacana tentang Islam khususnya tentang kesamarataan.

Memandangkan hubungan Malcom X dan Nation of Islam semakin tegang, akhirnya Malcom X ditembak mati pada 21 Februari 1965 ketika memberi ucapan di Manhattan oleh 3 orang pengikut Nation of Islam.

Kisah yang panjang ini mencetuskan beberapa iktibar dan ibrah. Pertamanya, fahaman Islam yang benar-benar sahih dan tulen sangat penting dalam memperjuangkan Islam. Di luar sana terdapat terlalu banyak kumpulan-kumpulan yang mendabik dada mengatakan mereka berjuang untuk Islam sehingga menggunakan nama Islam pada organisasi mereka namun pancang aqidah mereka jauh terpesong.

Kedua, perjuangan Islam itu boleh terbunuh hanya dengan perpecahan dan perbalahan sesama Islam. Walaupun musuh Islam sentiasa mengintai untuk menghancurkan, namun sirnanya persaudaraan dan persefahaman di kalangan kumpulan-kumpulan Islamlah yang akan membunuh dan merosakkan perjuangan Islam.

Ketiganya, watak yang berani dan lantang dalam memperjuangkan Islam juga penting bagi menyemarakkan obor perjuangan Islam. Watak ini juga perlu mempunyai kekentalan jiwa dan tidak mudah goyah apabila disergah musuh.

Mudah-mudahan kisah Malcom X ini dapat dikaji lebih mendalam. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -