Lantikan Asia Mobiliti: Terlepas pandang atau salah guna kuasa?

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Terlepas pandang atau salah guna kuasa?” tanya Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian susulan kecoh mengenai lantikan Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd sebagai salah satu syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi perkhidmatan demand-responsive transit (DRT) di empat lokaliti iaitu Puchong, Ampang, Hulu Kelang dan Serdang.

Menurutnya, tidak dinafikan projek DRT itu merupakan satu projek yang mampu memberikan manfaat yang sangat baik kepada rakyat Selangor dan menambah baik pengangkutan awam Negeri Selangor dengan mengunakan teknologi intelligent algorithm dan machine learning.

Namun, ujarnya beberapa persoalan timbul mengenai tatacara perolehan projek itu dan hubungan pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat tersebut yang dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan salah seorang Menteri Kabinet.

Menurutnya, hasil semakan didapati mengesahkan perkara berikut pemilik dan CEO syarikat adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan.

Katanya, seorang lagi pemilik saham dan pengarah syarikat adalah pengasas dan bekas CEO sebuah portal pro-Pakatan Harapan.

Tambahnya, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han yang turut dikongsi oleh menteri besar, tiada langsung penjelasan mengenai pemilikan saham Asia Mobiliti oleh mereka pro-Pakatan Harapan.

“Malah kenyataan Ng Sze Han telah mengesahkan bahawa proses perolehan yang digunakan dengan memanggil dua syarikat membuat pembentangan dan seterusnya dipilih untuk projek ini.

“Maka sah ianya adalah runding terus,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman sosialnya.

Menurutnya, sedangkan antara janji Pakatan Harapan adalah di bawah pemerintahan Anwar Ibrahim, adalah memastikan hanya tender terbuka dan RFP sahaja akan dilaksanakan.

“Malah selepas menjadi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan di bawah kepimpinan beliau tidak akan terlibat dengan tender runding terus kecuali projek berkaitan keselamatan,” katanya lagi.

Justeru, beliau berharap Menteri Besar Selangor dapat memberikan penjelasan jelas apakah yang menyebabkan kerajaan negeri menggunakan kaedah perolehan runding terus dalam projek DRT itu.

“Apakah beliau tidak sedar conflict of interest apabila suami kepada Menteri Kabinet daripada DAP dan individu pro-PH merupakan pemilik saham terbesar Asia Mobiliti?” tanya beliau. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

- Advertisement -