Jual aset MAHB: Kementerian perlu jelaskan kepada rakyat

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak seharusnya melakukan penjualan 30 peratus aset Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat pelaburan multinasional Amerika Syarikat, BlackRock.

- Advertisement -

Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata isu terbabit perlu diperincikan semula tambahan pula BlackRock mempunyai rekod buruk dalam mengendalikan lapangan terbang.

“PN tidak menghalang penjualan aset MAHB kepada mana-mana pihak sekalipun, selagi mana kerajaan masih memegang peratusan terbesar ekuiti dan pemegang saham pula kompeten dalam mengendalikan lapangan terbang.

“Hal demikian agar MAHB lebih berdikari dan pantas dalam tindakan strategik demi penambahbaikan mutu perkhidmatan lapangan terbang di Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tegas beliau, Kementerian Pengangkutan haruslah bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat kerana mereka juga merupakan pengawal selia kepada MAHB.

“Figura-figura Kerajaan Madani yang memegang tampuk kuasa harus bertindak! PN mahu Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook atau Pengerusi Khazanah yang juga Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi benteng terakhir menghalang penjualan ini tidak berlaku,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Jerantut.

Tambahnya, lagi-lagi aset itu dibeli oleh pro-Zionis yang menyumbang secara terus kepada kesengsaraan rakyat Palestin di bumi Gaza.

“Kami bukan ‘spin’ dan menghasut dalam isu ini tetapi mahukan ketelusan daripada pihak Kerajaan Madani,” katanya.

Syarikat BlackRock ditubuhkan pada 1988 dan kini merupakan antara syarikat pengurusan pelaburan yang terbesar di dunia.

Syarikat itu dimiliki oleh keluarga Yahudi di mana Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Larry Fink tetapi pada masa yang sama banyak terlibat dalam skandal kewangan dan bersifat monopoli dalam melakukan sebarang aktiviti pelaburan.

Sifat sebegitu membolehkan BlackRock menguasai ekonomi bukan sahaja di Amerika Syarikat tetapi juga di peringkat global serta aktif dalam melakukan kegiatan pelaburan di negara haram Israel. – HARAKAHDAILY 25/5/2024

- Advertisement -