‘Tamak kuasa, gagal dalam politik’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Politik negara sewajarnya sudah melepasi usia matang, namun kekalutan politik seringkali dirasai dan suhunya sentiasa panas terutama mutakhir ini.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Perak, Fairuz Hafiizh Othman berkata, jika dulu pertembungan tajam sentiasa berlaku antara dua parti politik Melayu Umno dan PAS, kemuncaknya ialah peristiwa Memali.  

- Advertisement -

“Namun kini situasinya telah berbeza. Parti bukan Melayu yang dulunya adalah penumpang untuk perkukuhkan kerajaan telah mula dominan. 

“Inilah ukuran utama kegagalan orang Melayu berpolitik. Kerana tamakkan kuasa, akhirnya merombak keseimbangan kerusi merugikan bangsa sendiri. Sudah terantuk, tak guna lagi tengadah kepala.

“Lebih membimbangkan, DAP yang merupakan kelahiran PAP telah mengisi kekosongan MCA. MCA dan MIC adalah wakil kaum bukan bumi yang memahami perjanjian dan menyedari toleransi Melayu menerima mereka. 

“Sementara, DAP pula adalah wakil yang memperjuangkan Malaysian Malaysia yang sifatnya merubah dan merombak asas penerimaan bersama. Kemerdekaan negara adalah Islam dan Melayu tonggaknya,” katanya dalam satu kenyataan

Menurut beliau, DAP pernah dikaitkan sebagai pencetus 13 Mei yang merupakan sejarah hitam walaupun parti itu menafikannya, namun hakikat peristiwa hitam itu berlaku adalah akibat dari perubahan pola penguasaan kaum dan mainan api perkauman yang cuba merombak asas kemerdekaan bersama yang dipersetujui. 

“Tanah Melayu yang menjelmakan nama Malaysia tidak akan merubah sifat ketuanan yang dimiliki bangsa Melayu dan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan.

“Rakyat Malaysia perlu mengimbangi suhu politik ini dengan kematangan berpolitik untuk mengekalkan asas penerimaan bersama pembentukan Tanah Melayu yang merdeka. 

“Jangan menyentuh dan melepasi sempadan hak bangsa dan agama yang melatari kewujudan Tanah Melayu merdeka. 

“Dalam masa yang sama meraikan kewujudan dan ikrar membangunkan negara ini dari kaum yang meneruskan janji nenek moyang untuk menghormati hak yang telah teguh termetri sejak berkurun lama. Nampaknya DAP tidak mengerti untuk menerima perkara ini. 

“Indahnya negara kita andai toleransi antara tuan yang bermurah hati dan tetamu yang tahu asal diri. Tuan rumah tak lokek menjamu. Tetamu tahu sempadan bertamu, jangan sampai menjenguk bilik tidur. Ia mengundang amarah tuan rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -