KOTA BHARU: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, antara pimpinan Kelantan yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas penyerang Harimau Malaya era 70-an, Apandi Yusof, 73, yang meninggal dunia semalam.
Takiyuddin juga berkesempatan menunaikan solat jenazah selepas solat Isyak di Masjid Huda, Kampung Huda di sini malam tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul jam 3.20 petang semalam di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Takiyuddin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Kelantan (PBSMK) mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham di atas pemergian arwah.
Baginya, allahyarham cukup berjasa pada negeri dan negara khususnya dalam arena bola sepak.
“Semoga keluarga bersabar menghadapi ujian pemergian insan tersayang ini,” katanya kepada Harakahdaily.
Turut hadir menunaikan solat jenazah allahyarham ialah ahli jawatankuasa PBSMK dan kepimpinan persatuan berkenaan.
Allahyarham mengalami jangkitan kuman kronik pada paru-paru pada 18 April lepas.
Media melaporkan, Apandi terpaksa ditidurkan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman kronik pada paru-paru.
Apandi yang beraksi untuk Kelantan pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan pada tahun 1970-an. – HARAKAHDAILY 24/5/2024