Speaker perlu kuat kuasa akta dilulus Dewan

- Advertisement -

KANGAR: Speaker Dewan Rakyat disarankan untuk segera mengambil tindakan berhubung pelaksanaan Undang-Undang Anti Lompat Parti, demikian gesa Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, akta tersebut digubal untuk memastikan wakil rakyat yang melompat parti mengosongkan kerusi mereka dengan segera. 

“Sekarang ini kita berharap Speaker mengambil tindakan berhubung dengan undang-undang anti lompat parti. 

Tapi kalau anti-lompat parti ini nak kena pergi ke mahkamah, nak tengok lompat itu macam mana, tinggi atau rendah, jadi untuk apa akta ini diadakan?” soalnya.

Shahidan menekankan bahawa undang-undang ini sepatutnya memudahkan proses pengosongan kerusi oleh wakil rakyat yang melompat parti. 

Beliau berpendapat bahawa dengan membawa isu lompat parti ke mahkamah akan menyulitkan pelaksanaan akta tersebut. 

Beliau juga menegaskan kepentingan akta ini dalam memastikan kestabilan politik dan kepercayaan pengundi terhadap wakil rakyat mereka. 

“Kalau undang-undang anti-lompat parti ini terpaksa dibawa ke mahkamah dan sebagainya, ia akan menyulitkan proses. Undang-undang ini sepatutnya memudahkan proses bagi mereka yang melompat parti,” ujarnya.

Sebagai Pengerusi Lajnah Parlimen PAS, Shahidan menyatakan bahawa PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan terus berjuang untuk mempertahankan kerusi mereka dalam PRK yang mungkin berlaku akibat tindakan melompat parti ini. 

“Pilihan raya ini adalah medan untuk kita bertarung. Kerusi-kerusi ini adalah milik kita, dan kita akan berjuang untuk mempertahankannya,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -