PAS sedia tanding di tujuh PRK – TG Hashim Jasin

- Advertisement -

KANGAR: PAS menyatakan kesediaan untuk meletakkan calon dalam enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022. 

- Advertisement -

Ia ekoran tindakan beberapa Ahli Parlimen dan ADUN yang melompat parti untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikia kata Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin, ketika ditemui Harakahdaily.

“Saya serah pada (keputusan rasmi) PAS, kalau diberi peluang bertanding kita sedia bertanding. Saya yakin kalau PAS diberi mandat bertanding, kita sudah bersedia.

“Saya juga yakin dalam suasana muhibah dalam komponen parti-parti PN, kita dapat selesaikan isu calon itu dengan sebaik-baiknya,” tambahnya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan PN yakin PRK bagi enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN perlu diadakan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti 2022, jika semua yang terlibat kekal dengan pendirian masing-masing. 

Antara mereka yang berpaling tadah termasuk Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Juga Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, serta Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dzulkafperi Hanapi, selain ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari.

Hashim menambah bahawa PAS juga yakin peluang PN untuk menang dalam PRK tersebut adalah cerah, namun menekankan perlunya memperkuatkan jentera parti dalam menghadapi pilihan raya itu.

 “Pilihan raya ini sudah menjadi adat, ada yang kalah dan ada yang menang. Kita juga sudah bersedia dengan kekuatan jentera jika berlaku PRK tersebut,” katanya.

Dengan kesediaan PAS dan proses rundingan dalam PN, perkembangan selanjutnya mengenai PRK ini akan terus diperhatikan dengan dekat oleh semua pihak. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -