Mohd Rowi dilantik Penolong Pengurus KDN FC

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pengarah Urusan Eniq World Group, Datuk Mohd Rowi Dollah dilantik sebagai Penolong Pengurus Pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

- Advertisement -

Pengumuman itu dibuat Presiden KDN FC, Rozi Muhamad pada satu majlis ringkas di pejabat urusan kelab terbabit di Stadium Sultan Muhammad IV, petang semalam. (Foto atas)

Mohd Rowi berkata, beliau merakam ucapan terima kasih kepada pengurusan KDN FC kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk mengurus pasukan terbabit yang dianggap sangat mencabar.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada KDN FC terutamanya pada presiden kelab kerana meletakkan saya di tempat yang mencabar.

“Saya merasakan ini satu penghargaan walau saya sedar pasukan ini bakal berdepan saingan yang sangat sengit pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada program tersebut.

Tambahnya, tugas yang diamanahkan tersebut akan digalas sebaik mungkin demi memastikan kejayaan pasukan Sang Kijang Emas pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Beliau juga berikrar akan membantu KDN FC muncul sebagai sebuah kelab yang disegani sekali gus mencapai semua misi serta visi yang ditetapkan.

Bagaimanapun beliau berharap peminat dan penyokong bola sepak Kelantan mengetepikan segala masalah atau sentimen untuk memberi ruang KDN FC terus bangkit.

“Sama-sama hadir ke stadium demi satu bendera negeri Kelantan seterusnya memberi sokongan padu serta fokus kepada pasukan KDN FC,” ujarnya.

Sementara itu, Rozi yakin pengalaman Mohd Rowi ketika bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum ini. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -