KOTA BHARU: Pelajar lepasan Maahad Tahfiz al Quran Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebahagian besar sekarang berkhidmat dan berbakti di pelbagai institusi di seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerjaya mereka dalam bidang profesional.
“Kesemua itu merupakan aset penting kepada pembangunan modal insan yang tidak ternilai harganya kepada negara,” katanya pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan 2023 Kali Ke-14 di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK) semalam.
Menurutnya juga, menjelang tahun 2017 kerajaan negeri mengorak langkah dengan mempelbagaikan kemahiran di maahad tahfiz, antaranya menubuh Maahad Tahfiz al Quran Darul Saadah Lil Banat yang mengabungkan Tahfiz, Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), Sijil Kemahiran Masakan dan Sijil Kemahiran Jahitan.
Pada 2021, Maahad Tahfiz Sains Nurul Hidayah, Tualang Tinggi di Pasir Puteh menerapkan mata pelajaran dan kokurikulum bahasa Cina di samping pendidikan hafazan al Quran.
“Pada tahun 2024 kerajaan negeri merancang merealisasikan hasrat ‘Satu Jajahan Satu Tahfiz’ yang digagas oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Kita sedang berusaha untuk membuka dua lagi Maahad Tahfiz di Kuala Krai dan Gua Musang yang menjadikan jumlah keseluruhannya sehingga kini sebanyak 12 buah dengan 3,550 pelajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/5/2024