AYER KEROH: Anthony Loke Siew Foh didesak meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kerana telah mengelirukan Dewan Rakyat pada persidangan Mac lalu berkaitan isu penjualan ekuiti Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).
Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man berkata, Anthony cuba menafikan dengan alasannya bahawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahsyal Wan Ahmad Kamal menggunakan istilah ‘penjualan’ pada perbahasan tersebut.
Anthony menyatakan perkara itu baru-baru ini sebagai reaksi mempertahankan dirinya atas tindakan Wan Fayhsal yang telah menghantar usul merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan dewan.
Namun, kata Kintan, hakikatnya Ahli Parlimen Machang itu jelas menggunakan istilah ‘menjual sebahagian pegangan dalam MAHB’ di mana ianya selaras dengan perkara yang sedang berlaku.
“Kita mendesak YB Anthony Loke supaya letak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kerana telah berbohong dalam Dewan Rakyat yang mulia. Kita juga memohon agar Pengerusi Khazanah supaya menarik balik penjualan ekuiti tersebut.
“Ini seperti yang telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri bagi keselamatan negara serta demi maruah tanah air tercinta lagi berdaulat ini,” ujar Kintan.
Jelas beliau, GIP kini dipegang oleh BlackRock yang merupakan sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Amerika Syarikat di mana ianya diasaskan oleh seorang Yahudi.
Berdasarkan rekod katanya, pada awal tahun 2024, BlackRock mempunyai pegangan pengurusan terbesar dengan nilai USD9.4 trillion aset di bawah pengurusannya dan pada Januari 2024, BlackRock telah membeli saham Global Infrastructure Patners (GIP) bernilai USD12.5 bilion.
“Pada 15 Mei 2024, di laman sesawang GIP sendiri telah mengesahkan pembelian saham dengan nilai ekuiti sebanyak RM18.4 billion,” katanya kepada Harakahdaily di mana perkara itulah yang pernah dinafikan Anthony dalam Dewan Rakyat terhadap bangkitan dibuat Ahmad Fayhsal.
“Airport Malaysia adalah pintu masuk melalui udara. Kebanyakan bentuk sosioekonomi iaitu pelancongan, perdagangan dan juga hubungan diplomatik antarabangsa adalah melalui jalan udara.
“Apakah muslihat bila GIP dibenarkan memiliki saham MAHB yang diluluskan oleh Khazanah Nasional di bawah pengerusinya iaitu Perdana Menteri Malaysia sendiri? soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Perdana Menteri terdesak melakukan perkara itu demi memuaskan hati pihak-pihak tertentu bagi mempertahankan kuasanya.
“Pastinya, kita mendedahkan keselamatan udara kita kepada syarikat ternyata milik Yahudi yang membantai saudara seislam kita di Palestin. Senario ini amat bahaya kepada negara kita Malaysia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/5/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!