Isu GIP-BlackRock, MAHB: ‘Terima kasih Anthony Loke’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen Seremban merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kerana membenarkan (‘mengiakan) dakwaan pihak pembangkang selama ini tentang kaitan antara Global Infrastructure Partners (GIP) dan BlackRock dalam isu Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Terima kasih kerana mengakui tentang penglibatan syarikat pro-Zionis ini dalam pengurusan dan saham pemilikan satu infrastruktur asas yang penting dalam negara.

- Advertisement -

“Terima kasih kerana memaklumkan bahawa ‘alamat’ sebenar untuk membantah isu ini ialah pihak Khazanah Nasional Bhd kerana pihak inilah yang memberi laluan kepada syarikat pro-Zionis ini untuk bertapak di Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Oleh itu, Pemuda PAS menuntut penjelasan daripada Pengerusi Khazanah atas tindakan membenarkan syarikat yang berkaitan dengan Israel untuk masuk dan melakukan sebarang aktiviti di negara ini. 

Ini kerana menurut Pemuda PAS, tindakan itu jelas bertentangan dengan hasrat dan pendirian Perdana Menteri Malaysia yang telah menegaskan pada awal Mei lalu bahawa Malaysia tidak akan membenarkan perkara sedemikian berlaku, apatah lagi sehingga memiliki saham dan aset strategik negara.

“Pengerusi Khazanah seharusnya lebih memahami pendirian dan ketegasan Perdana Menteri dan tidak membuat keputusan yang mengundang kritikan dan serangan sebegini.

“Cukuplah Perdana Menteri (PMX) teruk diserang oleh negara-negara kuasa besar susulan kelantangannya membela hak Palestin selama ini. Tidak perlulah dibukakan pula ruang untuk beliau diserang rakyat sendiri,” tambahnya. 

“Walau bagaimanapun, pengakuan Anthony Loke itu dilihat masih tidak dapat menafikan keterlibatannya dalam perancangan ini apabila beliau sendiri yang bersetuju dengan tindakan menubuhkan konsortium ini,” tegas kenyataan itu.

“Maka, beliau tidak seharusnya lepas tangan dan membuat kerja mudah dengan mengalihkan isu kepada pihak Khazanah semata-mata. 

“Apa-apapun, Pengerusi Khazanah dituntut untuk menjawab isu ini segera,” kata kenyataan itu. –HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -