CAMBRIDGE: Ratusan graduan dari Universiti Harvard bertindak keluar dari dewan ketika majlis konvokesyen mereka pada Khamis, susulan tindakan universiti itu menghalang 13 orang pelajarnya yang menyertai himpunan pro-Palestin daripada memperoleh Diploma.
Rata-rata yang bertindak keluar dari dewan itu melaungkan ayat seperti ‘Bebas Palestin’ dan ‘Biarkan mereka bebas’ sebagai tanda protes kepada keputusan pihak pengurusan universiti itu yang sudah berlarutan hampir seminggu.
Menurut seorang wakil pelajar, Shruthi Kumar, solidariti kebebasan bersuara dan ekspresi mereka pada semester kali ini boleh dihukum oleh pihak pengurusan, katanya sambil menerima tepukan dan sorakan dari para pelajar yang lain.
“Saya menyokong tindakan 13 pelajar berkenaan di dalam kelas tahun 2024 yang tidak akan bergraduasi hari ini.
“Saya sangat kecewa dengan tindakan tidak bertoleransi untuk kebebasan bersuara dan hak sivil yang diabaikan di kampus,” katanya.
Hampir 1,500 pelajar dan 500 staf Universiti Harvard telah menandatangani petisyen yang mendesak gencatan senjata di Gaza dan menuntut universiti itu untuk menghentikan kerjasama dengan syarikat yang menyokong perang berkenaan.
“Hal ini merupakan hak sivil dan mengangkat prinsip demokrasi. Pelajar sudah bersuara, fakulti juga sudah bersuara. Harvard, adakah anda mendengar kami?” katanya. –HARAKAHDAILY 24/5/2024