CAP gesa haramkan penjualan dua rempah dari India

Mohideen Abdul Kader
- Advertisement -

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan pengguna agar perlu mengelak daripada mengambil rempah yang diimport dari India sehingga pihak berkuasa dapat memastikan ia selamat untuk dimakan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa Kementerian Kesihatan mengharamkan serta-merta penjualan dua jenama rempah dari India yang didapati mengandungi etilena oksida iaitu agen penyebab kanser.

Beliau berkata, kedua-dua jenama rempah ratus yang terjejas itu boleh didapati dengan meluas di Malaysia terutamanya dalam platform e-dagang.

Menurutnya, jenama rempah yang terjejas itu dieksport ke banyak wilayah termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Australia.

“Memandangkan rempah ratus digunakan dengan meluas di Malaysia, Kementerian Kesihatan bukan sahaja perlu menjalankan ujian ke atas dua jenama rempah itu tetapi juga rempah lain yang diimport dari India memandangkan rempah digunakan untuk menyediakan kari panas di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Malaysia menjadi pengimport kedua terbesar cili dari India dan beberapa import rempah utama yang lain ialah ketumbar, buah pelaga kecil, kunyit dan jintan manis.

Menurut Reuters, ujar beliau Agensi Piawaian Makanan (FSA) United Kingdom (UK) telah melaksanakan langkah kawalan tambahan bagi sisa racun makhluk perosak dalam rempah dari India yang termasuk etilena oksida.

Katanya lagi, United Kingdom menjadi yang pertama meningkatkan penelitian terhadap semua rempah India selepas dakwaan pencemaran terhadap dua jenama mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengawal selia makanan global.

“Nepal menjadi negara terbaharu yang mengharamkan import dan penjualan dua jenama rempah India yang popular ini,” ujar beliau.

Bulan lalu, katanya Hong Kong dan Singapura telah melakukan perkara yang sama selepas ujian mengesan kehadiran etilena oksida dalam sampel yang diuji.

Menurut beliau lagi, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia sejak itu berkata mereka sedang meneliti isu berkaitan kedua-dua jenama itu.

Mohideen menambah, selain penggunaannya sebagai racun makhluk perosak, etilena oksida digunakan untuk mensterilkan peralatan perubatan dan sebagai agen pensterilan dalam rempah untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh bakteria salmonella dan E Coli.

“Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) AS, pendedahan tetap kepada sebatian tidak berwarna dan tidak berbau ini meningkatkan ‘risiko kanser sel darah putih’.

“Memandangkan bahaya etilena oksida kepada kesihatan kita, CAP menggesa Kementerian Kesihatan supaya segera mengharamkan penjualan dua jenama rempah dari India yang didapati mengandungi bahan berbahaya itu,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, pada masa yang sama mereka perlu menjalankan ujian ke atas semua jenis rempah yang diimport dari India bagi kehadiran etilena oksida dan racun makhluk perosak lain. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -