Abang Zam sahabat kami selamanya!

Hari ini telah kembali ke negeri abadi

- Advertisement -

SAHABAT baik kami, ADUN Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff sebelum ini telah ditidurkan hampir sebulan oleh pihak Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang akibat sakit yang berkaitan dengan usus telah kembali kerahmatullah hari ini, Jumaat 24 Mei 2024. 

- Advertisement -

Kalangan aktivis kebajikan dan kemasyarakatan negara ini akan kenal dengan sosok lelaki berhati emas ini. Sepanjang empat  lima tahun berprogram, rasanya hampir 10 kali bermisi dan kenal rapat akal budi anggota legislatif daripada Pulau Mutiara ini. 

Aku sahkan watak lelaki 50-an ini memang wajar diangkat oleh masyarakat Sungai Bakap sebagai Wakil Rakyat mereka kerana watak semulajadi almarhum yang ringan tulang, cakna dan merakyat terutama dengan anak-anak muda. 

Dia tak perlu berlakon untuk menjadi hero rakyat kerana itu watak semulajadi Abe Zam, panggilan manja kami kepada beliau. Merata- rata kami pergi menyantuni umat dalam misi kebajikan dan dakwah masyarakat Orang Asli, program dakwah di pulau-pulau juga kawasan yang terpuruk di Kelantan, Pahang dan Terengganu. 

Jika ada bencana seperti banjir maka pasukan Khidmat Malaysia Nibong Tebal dipimpin almarhum akan menghulur tenaga membantu bencana. Abg Zam adalah pemain barisan hadapan dalam misi, merencana, mengutip dana, mengerah aktivis-aktivis untuk membahu kerja kebajikan. 

Tanggal 12 Ogos 2023 beliau memenangi kerusi DUN Sungai Bakap  dalam PRN Pulau Pinang, satu kejutan besar dalam politik PAS di Pulau Pinang, namun kami daripada awal menjangkakan sosok kebajikan ini akan memenangi kerusi majoriti Melayu ini.

Aku teringat pengalaman semasa bencana banjir di Pahang, dia datang dengan berlori pakaian baru dan terpakai, guratan wajahnya cukup bahagia untuk menyodor bantuan kepada mangsa banjir. 

Juga saat tragedi tanah runtuh banjir lumpur di Kedah dia dan tim berkeringat sehingga tak terkata masyarakat tempatan melihat kegigihan almarhum dan pasukannya. 

“Kita hidup sekejap je ustaz, nilah yang kita nak bawa balik mengadap Allah” katanya lirih bila aku memuji komitmennya dalam lapangan kebajikan. “Abang nak berkuliah macam ustaz tak boleh, yang ini abang mampu buat sekadar” tukasnya dengan rendah hati.

Pergilah mana-mana misi kebajikan dan dakwah, almarhum Abang Zam akan sentiasa cakna anak buah dan merimbun ukhuwwah, “Makanlah roti arab tu ustaz, abang buat sendiri tu” katanya mesra, memastikan semua orang dapat makan dan sendawa kekenyangan. 

Belahan jiwanya, Kak Sal adalah tulang belakang dalam membantu masyarakat, banyak kali juga Kak Sal dibawa dalam misi-misi kebajikan.

Ajaklah membina dan merimbun ukhuwwah semahal tempayan emas, maka almarhum sanggup meredah beratus-ratus kilometer hatta dengan menaiki motosikal. Kami gelarkan mereka ‘team Utagha’, termasuk mantan anggota polis pencen yang juga anggota JAM. 

Janji tetap ditepati walau sesulit mana sekali pun. Dia boleh tersenyum di Tahfiz an-Nur Besut hanya untuk melihat anak-anak tahfiz makan roti arab dengan berselera sekali. Di mana-mana jika ada Abang Zam, kita akan merasa dia seolah darah daging kita sendiri. 

“Nanti kita bakar kambing ustaz, makan ramai-ramai…seronok..bukan senang kita nak berhimpun ni” katanya bersalut bahagia dengan postur badan yang kurus. Kadang dia menunjuk skill lamanya menimang sepak raga dan kami tahu sosok ini bukan kaleng-kaleng. Jenis ’empat tapang’ kata orang Kelantan dan Besut.

Kami bermukhayyam di Dabong Hulu Kelantan sambil membina masjid arwah Pondok Pak Teh. Sama-sama berkeringat mengangkat batu-batu  sungai. Riuh geger seperti perang sabil laungan takbir Abang Zam dan team Utara. Mengingat memori indah indah ini, airmata bergenang kesayuan, moga kami semua berhimpun dan berukhuwwah di jannah kelak!

Abang Zam dan team bersama relawan kami, pergi ke pulau-pulau untuk berkebajikan dan berdakwah. Kami tiba di Pulau Perhentian, Pulau Redang, menelusuri rumah-rumah asnaf. 

Usai berprogram membantu, maka kami mandi laut mengikat ukhuwwah dan ada kalangan kami yang telah pergi mengadap Ilahi. Kadang dilatih teknik pernafasan dan yakin air oleh mantan anggota keselamatan, iaitu almarhum Abang KZ.

Abang Zam adalah lelaki berwatak abang dan ayah yang sentiasa melindungi! Bila aku bermusafir ke Utara untuk berceramah atau apa sahaja program dakwah, agenda wajib adalah singgah di Nibong Tebal.

“Mari dulu, kita pekena nasi kandaq…jangan tak singgah, sekejap je jumpa mata” dia tegas mengajak. Aku tak berani menyanggah pelawaannya yang serius.  

Nak berpapasan pulang, dimuatkan lagi belakang kereta berkotak roti arab pula. “Iskkk apa ni bang…dah laaa makan nasi kenyang dah”. “Bawa balik, agih pada kawan-kawan kita..alaaa tak banyak pun” tukasnya perlahan dengan senyuman khasnya.

Sikap cakna, tangkas membantu, ligat mencari dana awam untuk menyantuni masyarakat, merendah diri tak melangit sombong. Bagi aku, inilah aset terbaik karektor Abang Zam sebagai pemimpin masyarakat Sungai Bakap dan juga Nibong Tebal. 

Ayah kepada lima anak ini pernah bertugas dalam sektor perindustrian yang akhirnya membuka kedai roti Arab .

Bayangkan beratus-ratus kilometer dari Besut ke Nibong Tebal, tetapi apabila dia mengajak kawan- kawan relawan untuk menghadiri kenduri kahwin anaknya maka berpuluh-puluh relawan Besut sanggup melintasi banjaran Titiwangsa, berpanas terik menunggang motorsikal ke Nibong Tebal sekadar untuk menjamah sepinggan nasi minyak! 

Meraikan jemputan almarhum adalah sesuatu yang istimewa kepada relawan, maknanya lelaki ini mempunyai aura dan magnet semulajadi yang memancing pesona.

Rakyat Malaysia semua, doakan almarhum Abang Zamri dirahmati Allah, diampuni dosanya, dimasukkan ke dalam jannah, aku menjadi saksi akan kebaikan insan ini. Dia abang dan sahabatku selamanya. 

Paling asas, apabila adanya kematian, kenduri, keuzuran, bencana maka wajahnya tersenyum ceria membantu insan lain. Moga dirimu berbahagia di alam abadi Abang Zam..kami doakanmu daripada wilayah agrarian ini. 

Tak sempat aku menyolati jenazahnya bersama teman-teman yang lain kerana dalam perjalanan ke Pahang untuk merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan PAS Kawasan Maran. Namun berkali-kali mengesat air jernih dike lopak mataku mengenang figura relawan tegar ini.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -