9 genosid dalam 24 jam: Israel bunuh 91 rakyat Palestin

Penduduk awam meratapi kematian saudara mara mereka yang dibunuh kejam oleh tentera Zionis Israel di Semenanjung Gaza pada 23 Mei 2024. (FOTO: Al Jazeera)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Tentera Zionis Israel telah melakukan sembilan pembunuhan beramai-ramai atau genosid terhadap keluarga penduduk awam di Semenanjung Gaza yang terkepung dalam tempoh 24 jam yang lalu, mengorbankan 91 nyawa.

Sumber hospital di Gaza berkata, selain pembunuhan yang didokumenkan sekurang-kurangnya 91 rakyat Palestin itu, kra-kira 210 orang yang lain mengalami kecederaan.

- Advertisement -

Pihak berkuasa kesihatan tempatan itu juga mengesahkan bahawa jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober 2023 itu telah meningkat kepada 35,800 kematian dengan tambahan 80,200 yang lain cedera, lapor TRT World.

Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak; dan sementara itu, pasukan ambulans dan penyelamat masih tidak dapat mencapai banyak mangsa dan mayat yang terperangkap di bawah runtuhan atau bertaburan di jalan raya merentasi kawasan yang dilanda perang, kerana pasukan pendudukan Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan krew pertahanan awam.

Israel berdepan kritikan global berhubung angka kematian penduduk yang semakin meningkat dan krisis kemanusiaan yang memusnahkan di Gaza dengan lebih 900,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran dalam masa dua minggu sahaja dan kini kekurangan tempat tinggal, makanan, air dan ubat-ubatan.

Kereta kebal dan tentera Israel mara di tenggara Rafah, menuju ke arah daerah barat yang padat penduduk di bandar itu ketika mereka terus beroperasi di tiga pinggiran timur, berperang dengan pejuang Palestin Hamas yang menentang pencerobohan darat Zionis, lapor Al Jazeera pula.

Dua hospital terakhir yang berfungsi di wilayah Jabalia di utara Gaza kekal di bawah pengepungan Zionis selama beberapa hari ketika tentera Israel menyasarkan kemudahan kesihatan kritikal dengan artileri dan tembakan senjata. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -