12 Maahad Tahfiz YIK lahir 5,122 hufaz

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 12 Maahad Tahfiz di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sehingga sekarang berjaya melahirkan 5,122 hafiz dan hafizah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri di bawah fasa Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) berusaha mewujudkan dua lagi maahad tahfiz iaitu di Kuala Krai dan Gua Musang.

Katanya permintaan untuk memasuki sekolah aliran tahfiz cukup tinggi sejak sekolah itu diwujudkan pada awal 1992.

“Menjadi hasrat kerajaan negeri untuk menambah bilangan hafiz dan hafizah setiap tahun, jumlah keseluruhan hufaz dilahirkan sejak tahun 1992 hingga 2023 ialah seramai 5,122 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Graduasi Tahfiz YIK 2023 Kali Ke-14 di Dewan Besar Yayasan Islam Kelantan (YIK), di sini semalam.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Wan Roslan Wan Hamat; Pengarah YIK, Nik Mohd Hassanudin Nik Hussain dan Ahli-ahli Lembaga YIK.

Pada majlis itu seramai 300 hafiz dan hafizah menerima penghargaan setelah berjaya menamatkan hafalan al Quran.

Mohd Nassuruddin juga berkata, impian kerajaan negeri melahirkan generasi al Quran tidak pernah padam.

Sementara itu, sempena majlis itu dua pelajar menerima Tokoh Graduasi Tahfiz YIK 2023 iaitu Long Muhammad Nur Arif Muhammad Rafei dari Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung dan Adeela Bokhari daripada Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah. Mereka menerima laptop sumbangan Menteri Besar dan tajaan umrah oleh Wan Roslan bernilai RM9,000.

YIK turut memperkenalkan Anugerah Tokoh Tahfiz, Anugerah Hafiz Terbaik, Hadiah al-Quran Tulisan Tangan Terbaik dan Tercantik serta Sijil Syahadah Hafazan 10, 20 dan 30 juzuk.

Selain itu turut disampaikan sijil sanad hafazan dikendalikan oleh guru Rabitah al-Islami di Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Syeikh Ahmad Muhammad Abdullah al-Ramadi. – HARAKAHDAILY 24/5/2024

- Advertisement -