Rakyat diminta bertahan, sabar dengan sebarang kenaikan kos

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia ‘dihadiahkan’ dengan pengumuman jemaah Menteri baru-baru ini yang telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna selain Sabah dan Sarawak.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, menurut Perdana Menteri, penyasaran subsidi ini bukan bersifat penarikan mutlak, sebaliknya sebagai salah satu strategi untuk menyusun semula struktur kewangan awam.

- Advertisement -

“Tahniah diucapkan kepada rakyat Malaysia atas ‘hadiah’ yang begitu bermakna ini.

“Akhirnya, harga minyak telah ‘turun’. Menurut Perdana Menteri, sepertimana ‘manfaat’ yang telah diterima oleh rakyat dalam hal subsidi air dan elektrik, begitu jugalah ‘manfaat’ yang akan diperoleh bagi subsidi bahan diesel.

“Ternyata, benarlah laporan media Singapura yang disangkal oleh pihak kerajaan sebelum Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu (PRK KKB), yang menyatakan bahawa kerajaan Madani akan memotong subsidi dalam tempoh beberapa minggu selepas PRK KKB dengan memulakan pada bahan api diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ‘kejutan’ kerajaan Madani kepada rakyat Malaysia kali ini disifatkan sebagai hebat terutama sekali buat golongan B40 dan M40 yang ‘mengikut definisi kerajaan Madani’.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, rakyat Malaysia secara keseluruhannya diminta bersedia tanpa mengira pengkelasan isi rumah untuk merealisasikan cita-cita kerajaan Madani ke arah keberhasilan melaksanakan subsidi secara bersasar; dan bertahan dengan sebarang kenaikan kos yang berlaku dengan penuh sabar.

“Kepada rakyat Malaysia jadikanlah ini peringatan. Kalau masih mahu merasakan ‘nikmat’ enaknya kos sara hidup yang semakin mencanak, teruslah ‘memberikan undi’ kalian kepada Pakatan Harapan.

“Namun, kalau inginkan kerajaan yang prihatin dan berhati-hati dalam membuat polisi ekonomi rakyat, pilihlah mereka yang layak dan terbukti meletakkan kebajikan rakyat pada tahap yang paling utama,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -