KANGAR: PAS sama sekali tidak terganggu, bahkan juga tidak akan mengganggu proses mahkamah yang sedang berlangsung terhadap kes melibatkan anak Menteri Besar Perlis.
Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menegaskan bahawa gerak kerja parti ini tetap berjalan seperti biasa, malah beliau sendiri walau telah berumur juga mempunyai jadual yang padat.
“Gerak kerja parti berjalan seperti biasa, saya sendiri walaupun sudah berumur, pagi tadi ada (terlibat) program, malam ini ada, besok ada. Terus bergerak, tidak ada gangguan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Bekas ADUN Sanglang itu juga turut menyatakan pendirian dan sikap PAS yang tidak pernah dan tidak akan sama sekali mengganggu proses mahkamah sedang berlangsung terhadap mana-mana kes termasuk kes tersebur.
“Kita tak ganggu, serah pada mahkamah untuk proses seterusnya. Baru tuduh, jika sudah ada keputusan nanti akan ada rayuan. Kemudian kita (PAS di) negeri ini ikut keputusan (PAS) Pusat saja,” tambahnya lagi.
Terdahulu, anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM19,000.
Bagaimanapun tertuduh dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan oleh Mahkamah Sesyen Kangar, di sini hari ini.
Mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes berkenaan. – HARAKAHDAILY 23/5/2024