PAS Maran, Dewan Muslimat jayakan Majlis Hari Guru PASTI

- Advertisement -

MARAN: PAS Maran buat pertama kalinya berganding bahu dengan Dewan Muslimat PAS Kawasan Maran untuk turut menjayakan majlis sambutan Hari Guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) 2024.

- Advertisement -

Penganjuran majlis sambutan anjuran Dewan Pemuda PAS Maran dan pihak pengurusan PASTI tersebut adalah bertujuan bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru PASTI dalam mendidik anak-anak bangsa yang bakal meneruskan kerja dakwah Islam.

Yang Dipertua PAS Maran, Fazil Azmi Nadzri berkata, terdapat tiga tonggak PAS yang saling berkait rapat dalam perjuangan guru-guru iaitu tarbiah, dakwah dan siasah.

“Inilah perjuangan para guru yang bukan sahaja gigih mengajar anak-anak mengenal huruf namun mereka sebenarnya adalah tulang belakang utama di dalam jemaah ini,” katanya dalam program yang berlangsung di Sungai Ling, di sini, semalam.

Majlis sambutan ini dimeriahkan dengan persembahan khas, sebuah sajak bertajuk, Aku dan Guru yang dideklamasikan oleh Pengurus PASTI, Roduan Zainal Abidin.

Selain itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS  juga turut mengambil peluang membuat persembahan nasyid.

Dalam majlis itu juga, seramai enam orang guru telah menerima Anugerah Tokoh Guru PASTI pada tahun ini terdiri daripada Noryanti Mohd Mopti, Siti Aisyhah Azaha, Siti Syakirah Sheikh Saheri, Nur Syahirah Zakaria, Faridah Abd Farid dan Rugayah Ngah.

Turut hadir dalam majlis sambutan kali ini ialah Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd Sofian Abd Jalil. 

Dalam pada itu, Ketua Muslimat PAS Maran, Wan Zaiha Wan Hasbullah dan Ketua Pemuda PAS Maran, Abdul Mahadi Mahamud senada  dengan berkata, dalam menghargai jasa guru-guru, mereka berharap agar kedua-dua PAS Maran dan Dewan Muslimat PAS Maran dapat bekerjasama dengan Dewan Pemuda PAS Maran dan pihak pengurusan PASTI dalam menjayakan Majlis Sambutan Guru PASTI pada masa akan datang.

– HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -