Nak sihat perlu bersungguh-sungguh

- Advertisement -

ALOR SETAR: Mengamalkan permakanan yang seimbang antara cara boleh menghindari diri dari pelbagai penyakit, tegas Pengerusi Muscare, Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Dr Rahimah Sahit.

- Advertisement -

Kata beliau, permakanan yang sihat bukanlah diamalkan apabila sudah dijangkiti penyakit, sebaliknya mesti menjadi langkah awal dalam rutin kehidupan sebelum daripada menghidapinya.

“Antara penyakit yang dihidapi ramai orang iaitu kencing manis. Kencing manis ini berpunca dari pengambilan gula putih yang berlebihan di dalam makanan. 

“Jadi kena usaha elakkan ambil gula putih, ganti dengan bahan lain yang lebih sihat,” jelas beliau ketika menjadi motivator program ‘ Tanyalah Doktor’ di Kompleks PAS Kedah, di sini semalam.

Ujarnya, mengamalkan minum air kosong dan air tanpa gula adalah langkah terbaik untuk menghindari dijangkiti kencing manis, malah ia juga boleh menurunkan berat badan.

“Nasi putih pun banyak kandungan gula. Kuih muih, lebih-lebih lagi yang manis-manis, eloknya tak payah makanlah,” tambahnya lagi.

Program anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah itu turut dihadiri Naib Ketua dewan tersebut, Ustazah Fatimah Wan Teh, selain wakil dari setiap Dewan Muslimat seluruh Kedah.

Pelbagai soalan dikupas oleh Dr Rahimah merungkai pertanyaan hadirin berhubung masalah kesihatan semasa terutama berkaitan wanita.

“Nak sihat kena bersungguh-sungguh. Jangan semangat di sini sahaja tapi balik nanti, tak berubah juga,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/5/2024

- Advertisement -