MKK adalah ‘wakil rakyat’ peringkat kampung

- Advertisement -

LANGKAWI: Majlis Ketua Kampung (MKK) berperanan besar bagi menyampaikan dasar-dasar terkini kerajaan negeri agar maklumat dapat diterima dengan lebih jelas lagi berkesan.

- Advertisement -

Malah MKK juga sebenarnya berperanan dalam membantu kerajaan negeri bagi melaksanakan segala hasrat dan dasar berkaitan di peringkat kampung mahupun komuniti masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan Negeri, Dato’  Ustazah Siti Ashah Ghazali Ghazali berkata demikian pada Penyampaian Watikah Perlantikan MKK (2024-2026) seluruh Daerah Langkawi di Hotel Adya, di sini semalam.

“Dasar, program mahupun perlaksanaan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri terutama melibatkan masyarakat kampung serta komuniti perlulah disampaikan hingga ke peringkat akar umbi.

“Apatah lagi melibatkan perancangan serta perlaksanaan mewujudkan kampung atau komuniti yang maju dan sejahtera khususnya di kawasan luar bandar terutama penyediaan kemudahan prasarana yang baik,” ujar beliau.

Mengulas lanjut Ashah juga berkata, selain sebagai wakil penduduk menyuarakan pandangan menyelesaikan masalah berbangkit, MKK juga bertanggungjawab memastikan keamanan dan perpaduan masyarakat di kampungnya.

Sumbangan dan penglibatan menyeluruh itu kata beliau, amat diperlukan untuk memudahkan pihak kerajaan negeri merangka serta melaksanakan aktiviti serta keperluan rakyat peringkat bawahan.

Terdahulu, majlis penyampaian watikah itu dihadiri kira-kira 116 orang dari kalangan pengerusi dan setiausaha MKK dari 58 kampung dan komuniti seluruh Daerah Langkawi.

Turut hadir, Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad dan ADUN Kuah, Amar Pared Mahamud serta Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Mohamad Suhaimi Abdullah.

Termasuk Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri  Kedah, Abdullah Sanie Adnan dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Langkawi, Zulkifli Abdullah.

ADUN Merbau Pulas itu juga memaklumkan, pihaknya akan mengadakan pertandingan ‘Kampungku Sejahtera’ yang bertujuan untuk menilai prestasi dan pencapaian kampung ke arah mewujudkan masyarakat yang cemerlang.

“Pertandingan ini akan melibatkan peranan semua MKK di Kedah dan saya berharap setiap kampung dapat mengambil peluang¬†menyertai pertandingan ini,” ujar beliau lagi

Di Kedah terdapat 2,480 orang yang terdiri daripada 1,240 pengerusi dan setiausaha MKK, selain 11 jawatankuasa lain di setiap komuniti, termasuk 32 orang di 18 kampung baharu yang diwakili bukan-Islam.

Pada 21 April lalu, majlis Penyampaian Watikah MKK 2024 melibatkan pengerusi dan setiausaha seluruh Kedah diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Kuala Ketil dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pada majlis itu, Sanusi memaklumkan kerajaan negeri akan mempertimbangkan kenaikan elaun pengerusi dan setiausaha MKK dalam tempoh yang bersesuaian. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -