Makin ramai etnik bukan Melayu mahu kenali PAS

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Makin ramai etnik bukan Melayu mahu mengenali PAS yang sekarang sudah berjaya menjadi parti tunggal yang mempunyai majoriti kerusi Parlimen, stabil, matang dan sejahtera.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, selaku antara pengasas Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), beliau sangat gembira dengan perkembangan terkini DHPO menyaksikan makin ramai etnik bukan Melayu yang mengkaji perjuangan serta tidak lagi takut mendekati dan teruja mahu mengenali PAS melalui ahli DHPP.

- Advertisement -

“Mereka mahu tahu kenapakah ahli DHPP tidak takut dengan PAS sedangkan PAS tidak pernah berselindung mengenai dasarnya yang berteraskan Islam sebagai ‘Way of Life’ (cara hidup).

“Etnik bukan Melayu sekarang mula membaca dari sumber yang autentik mengenai PAS. Mereka mula rajin memerhati adakah PAS akan memaksa ahli DHPP membuang bahasa, budaya bahkan agama mereka? Mereka benar-benar mahu tahu.

“Adakah keluarga ahli DHPP akan berpecah belah bila bersama PAS atau sebaliknya? Adakah ahli DHPP akan lapar melarat bila berjuang dalam PAS?

“Sudah semakin rancak ahli DHPP beraksi bersama jentera pilihan raya PAS sama ada di PRU, PRN bahkan di mana-mana PRK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli DHPP menurutnya, makan, minum, pasang bendera, kempen rumah ke rumah, berceramah di atas pentas mewakili PAS dan terdapat kalangan mereka mendengar aduan dari pelbagai bangsa pelbagai kaum serta membawa ke tengah kepada pihak yang berautoriti.

“Sama ada penghulu, ahli majlis, YB ADUN atau Ahli Parlimen bahkan Exco dan Menteri Besar! Sebiji macam ahli PAS, ujar mereka. Etnik bukan Melayu memang dahagakan makluman fenomena aneh yang dipapar oleh DHPP ini.

“Inilah anugerah Sang Pencipta semua manusia, semua bangsa, semua kaum bahkan semua agama. Inilah selama ini dan selama-lamanya mahu diperjuangkan PAS.

“PAS yakin dan percaya bahawa Allah mencipta diversiti atau kepelbagaian untuk diuruskan dengan mengambil titik persamaan nilai-nilai murni sejagat yang diterima oleh sesama manusia,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kapar.

Tambahnya, inilah ajaran Islam, inilah tema ‘Islam For All’ (Islam untuk semua), inilah asal-usul slogan ‘PAS untuk semua’ dan PAS menganjurkan pertandingan logo PAS untuk semua.

“Saya selaku pengarah, instrumental dalam menghasilkan logo ‘PAS For All’ yang telah diterima pakai lebih sedekad. Insya-Allah Lajnah Perpaduan Nasional PAS yang telah melahirkan ‘bayi’ hebat DHPP ini akan terus bersama membantu memacu DHPP ke peringkat yang unggul dan terkemuka insya-Allah..

“Sehubungan itu, Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-14 penubuhan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) pada hari ini (23 Mei),” katanya. – HARAKAHDAILY 23/5/2024

- Advertisement -